KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkasakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Sarawak terus diberi perhatian bagi memperluas perkhidmatannya secara berperingkat ke daerah-daerah di seluruh negeri, selaras dengan perancangan dan keutamaan kerajaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kehadiran APM di setiap daerah amat penting berikutan keluasan geografi Sarawak, kepelbagaian bentuk muka bumi serta penempatan penduduk yang berselerak.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dapat disampaikan dengan lebih cepat, cekap dan berkesan kepada masyarakat.
“Saya melihat aspek kesiapsiagaan masyarakat dan pengurusan bencana sebagai antara elemen penting dalam pembangunan komuniti yang mampan.
“Pembangunan fizikal yang pesat perlu diseimbangkan dengan keupayaan masyarakat untuk menghadapi risiko dan bertindak balas terhadap sebarang kecemasan atau bencana.
“Justeru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha memperkukuh keupayaan agensi yang berperanan dalam aspek keselamatan awam, termasuk APM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau akan terus menyokong usaha meningkatkan pembangunan fizikal, kemudahan serta keupayaan logistik APM melalui saluran dan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang bersesuaian, tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan yang sewajarnya.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Rubiah berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhasrat supaya APM terus diperkasakan sebagai antara sayap penting kerajaan dalam meningkatkan ketenteraman awam.
“Penyertaan lebih ramai anggota dan sukarelawan APM bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan pasukan itu, malah mampu mencetuskan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan masyarakat tentang kesiapsiagaan menghadapi krisis dan bencana.
“Keberadaan APM harus diperluas dan bukan hanya dilihat ketika berlaku kecemasan atau bencana, tetapi juga dalam kehidupan harian masyarakat.
“APM telah melaksanakan beberapa perubahan strategik dengan menempatkan anggotanya di majlis rasmi kerajaan serta program ekonomi dan kemasyarakatan seperti pasar malam dan bazar Ramadan,” jelasnya.
Beliau menambah, kehadiran APM di kawasan tumpuan ramai penting bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan masyarakat juga perlu mengubah persepsi terhadap APM kerana peranannya jauh lebih luas dan mampu memberikan sumbangan besar dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negara ini.





