Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS) berhasrat memartabatkan industri seni, budaya dan kreatif Sarawak pada peringkat serantau menerusi penganjuran Island Beats of Borneo 2027 yang bakal menghimpunkan penggiat seni dari empat wilayah utama Borneo.
Program berkenaan dicadangkan sebagai wadah kerjasama seni dan kebudayaan yang melibatkan Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam serta Kalimantan, sekali gus membuka ruang yang lebih luas kepada bakat tempatan untuk diketengahkan di pentas serantau.
Pengerusi ARAS, Cyril Kayam berkata, usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara penggiat seni, persatuan dengan organisasi merupakan antara langkah penting untuk memastikan industri kreatif tempatan terus berkembang.
Aspirasi itu turut diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Makan Malam dan Pengumpulan Dana ARAS yang bertujuan mengeratkan hubungan antara penggiat industri serta mendapatkan sokongan bagi menjayakan program persatuan pada masa hadapan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Roseline Neging yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, selain wakil pelbagai persatuan serta organisasi seni dan kebudayaan.
Antara yang hadir ialah Pengerusi Kelab Seni Budaya Anak Sarawak (KESERA), Noreen Manggie; Padilla Jiahong daripada Biubiu Event & Entertainment; Juliet Tan, wakil Music Rights Sarawak Berhad (MRSB); serta Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili Lubuk Antu Skrang (PELASAR), Dr Dana Badang. Turut hadir ialah wakil Persatuan Gendang Pampat serta Main Asal Iban Kuching, Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Siol Kandis, Bidayuh Artistes and Musician Association (BAMA), Kadazan Dusun Cultural Association dan Persatuan Biannah.
Antara pencapaian penting ARAS sebelum ini ialah kejayaan menganjurkan program Seni dan Kebudayaan Borneo (BACA) 2024 yang menyediakan wadah kepada penggiat seni untuk memperlihatkan bakat, berkongsi pengalaman serta mempromosikan warisan budaya tempatan.
Pengalaman tersebut menjadi landasan kepada persatuan untuk merancang penganjuran program yang berskala lebih besar dengan pelibatan komuniti seni dari luar Sarawak.
Selain itu, ARAS turut terlibat dalam penghasilan karya muzik tempatan, penerbitan video muzik, dokumentari dan seni persembahan, termasuk penganjuran Konsert Irama Satu Sarawak 2025 serta karya muzik Keluwang Kelowet dan Ngattum.
Menerusi Island Beats of Borneo 2027, ARAS berharap dapat membuka peluang kerjasama antara artis, pemuzik dengan pengamal budaya, selain memperkenalkan keunikan identiti masyarakat Borneo kepada khalayak yang lebih luas.
Inisiatif itu juga berpotensi merancakkan pelancongan, menjana aktiviti ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui industri kreatif.
Sehubungan itu, sokongan kerajaan, sektor swasta, badan korporat dan masyarakat amat diperlukan bagi merealisasikan aspirasi berkenaan. ARAS yakin kerjasama berterusan daripada semua pihak mampu menjadikan Sarawak antara pusat pembangunan seni dengan budaya yang berpengaruh di rantau Borneo.






