ARTIKEL

ROOSFA HASHIM

Penyelenggara atau penyunting?Menilai semula amalan penerbitan buku

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dalam industri penerbitan buku di Malaysia, perkataan penyelenggara atau frasa diselenggarakan oleh sering ditemukan pada kulit buku, khususnya penerbitan ilmiah, antologi sastera dan kumpulan makalah seminar.

Istilah ini lazimnya merujuk kepada individu yang mengumpulkan tulisan beberapa penulis, mengurus penyediaan antologi atau menghimpunkan makalah berdasarkan tema tertentu.

Namun, sudah tiba masanya amalan ini dinilai semula.

Persoalannya bukan sekadar ketepatan bahasa, tetapi turut melibatkan kejelasan konsep kepengarangan, pengiktirafan sumbangan intelektual dan keselarasan penerbitan Malaysia dengan perkembangan industri buku antarabangsa.

Menurut Kamus Dewan, penyelenggara merujuk kepada orang yang menyelenggarakan sesuatu, termasuk mengurus, mengusahakan atau mengendalikan sesuatu perkara.

Istilah ini tidak salah dari segi bahasa, tetapi penggunaannya pada kulit buku untuk menggambarkan tanggungjawab terhadap kandungan intelektual boleh menimbulkan kekeliruan.

Individu yang sekadar mengumpulkan manuskrip tentunya berbeza peranannya daripada seseorang yang memilih, menyunting, menyusun, membina kerangka pemikiran, menyediakan anotasi atau menghuraikan konteks sejarah sesebuah karya.

Setiap tugas mempunyai tahap sumbangan intelektual yang berbeza.

Oleh itu, penggunaan satu istilah umum tidak menjelaskan tanggungjawab sebenar individu berkenaan.

Perbezaan istilah dalam penerbitan antarabangsa

Dalam penerbitan antarabangsa, istilah author, editor, compiler dan translator digunakan bagi membezakan peranan.

Istilah volume editor pula merujuk kepada individu yang bertanggungjawab terhadap sesebuah jilid yang menghimpunkan sumbangan beberapa penulis.

Penerbit seperti Springer Nature, Elsevier dan Cambridge University Press memberikan perhatian kepada perbezaan antara kepengarangan, penyuntingan dan bentuk sumbangan lain.

Editor bukan sekadar mengurus penerbitan, sebaliknya bertanggungjawab memilih sumbangan, menentukan skop dan hala tuju buku, menyelaraskan kandungan serta menyediakan pengenalan atau kerangka konseptual.

Sebaliknya, compiler merujuk kepada individu yang menghimpunkan bahan daripada pelbagai sumber, manakala translator ialah penterjemah.

Perbezaan ini menunjukkan setiap peranan perlu dikenal pasti berdasarkan tugas dan tanggungjawab sebenar.

Dalam bahasa Melayu, istilah seperti editor, penyunting, penyusun, pengumpul dan penterjemah boleh digunakan mengikut konteks.

Tidak semua istilah bahasa Inggeris perlu diterjemahkan secara harfiah. Perkara yang lebih penting ialah ketepatan istilah dalam menggambarkan sumbangan seseorang.

Ketepatan istilah, pengiktirafan intelektual

Satu kelemahan istilah penyelenggara ialah kesukaran menentukan padanan bahasa Inggeris yang tepat.

Dalam konteks umum, istilah ini boleh diterjemahkan sebagai organizer, coordinator atau administrator.

Namun, istilah tersebut tidak semestinya membawa maksud editor dalam penerbitan buku.

Jika seseorang mengendalikan seminar, organizer mungkin sesuai.

Jika menyelaraskan projek penerbitan, coordinator lebih tepat.

Tetapi jika individu itu memilih makalah, menyunting kandungan dan membina kerangka intelektual sesebuah buku, istilah editor lebih jelas.

Kejelasan ini semakin penting dalam era penerbitan digital, pengedaran rentas sempadan dan pengindeksan buku melalui pangkalan data antarabangsa.

Peranan pengarang dan penyunting perlu dikenal pasti dengan tepat dalam katalog perpustakaan, metadata penerbitan serta rekod bibliogra .

Isu ini juga berkait rapat dengan pengiktirafan kerja intelektual. Bayangkan sebuah buku mengandungi 15 makalah daripada 15 penulis.

Seorang sarjana mengemukakan gagasan utama, menentukan skop perbincangan, menjemput penulis, menyunting makalah, menulis pengenalan ilmiah dan memastikan kesatuan pemikiran buku tersebut.

Namun, namanya hanya dicatat sebagai penyelenggara.

Persoalannya, adakah istilah itu benar-benar menggambarkan sumbangannya?

Pada masa sama, individu yang hanya mengumpulkan tulisan tanpa penyuntingan substantif atau pembinaan kerangka pemikiran juga tidak semestinya layak diberikan gelaran editor.

Penghasilan kandungan, penyuntingan intelektual, penyusunan bahan dan pengurusan penerbitan perlu dibezakan.

Dalam penerbitan ilmiah, pengiktirafan ini boleh mempengaruhi rekod akademik, penilaian prestasi, kenaikan pangkat dan pengiraan hasil penerbitan.

Justeru, penamaan peranan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Langkah yang perlu diambil penerbit Malaysia

Penerbit universiti, agensi kerajaan dan penerbit swasta perlu menilai semula penggunaan istilah penyelenggara.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuklah: Pertama, membangunkan panduan yang membezakan peranan pengarang, penyunting, penyusun, pengumpul bahan, penterjemah dan penyelaras penerbitan.

Panduan ini perlu menjelaskan bentuk sumbangan yang melayakkan seseorang menggunakan gelaran berkenaan.

Kedua, memilih istilah berdasarkan tugas sebenar.

Bagi buku yang menghimpunkan makalah dengan penyuntingan substantif, frasa Disunting oleh atau Editor lebih sesuai.

Bagi koleksi bahan yang dihimpunkan tanpa penyuntingan intelektual mendalam, Disusun oleh atau Dihimpunkan oleh mungkin lebih tepat.

Karya terjemahan pula perlu menyatakan peranan penterjemah dengan jelas.

Ketiga, penerbitan manuskrip Melayu dan karya klasik perlu memperincikan tugas penyediaan teks.

Individu yang mentransliterasikan tulisan Jawi, membandingkan naskhah, menyediakan edisi kritis, menulis anotasi atau menterjemahkan teks mempunyai kepakaran dan tanggungjawab ilmiah tersendiri.

Mereka tidak seharusnya diletakkan di bawah satu label umum.

Keempat, peranan editorial perlu dibezakan daripada pengurusan projek.

Individu yang menyelaras jadual, mengurus komunikasi dan mengumpulkan manuskrip boleh diberikan pengiktirafan melalui halaman penghargaan atau bahagian bersesuaian tanpa semestinya dilabel sebagai penyunting atau pengarang.

Akhir sekali, Dewan Bahasa dan Pustaka wajar memimpin perbincangan penyeragaman istilah penerbitan dengan melibatkan penerbit universiti, penerbit swasta, pustakawan, ahli bibliogra , sarjana bahasa dan pengamal industri buku.

Memperjelas istilah, memartabatkan penerbitan

Kita tidak seharusnya mempertahankan sesuatu amalan hanya kerana sudah lama digunakan.

Tradisi perlu dihormati, tetapi wajar dinilai semula apabila terdapat kaedah yang lebih tepat dan bermanfaat.

Istilah penyelenggara mungkin sesuai dalam konteks tertentu.

Namun, penggunaannya sebagai label umum pada kulit buku tidak semestinya menjelaskan sama ada seseorang menyunting, menyusun, menghimpunkan, menterjemahkan atau membina kerangka ilmiah sesebuah penerbitan.

Industri penerbitan Malaysia memerlukan istilah yang tepat dan dapat difahami merentas bahasa.

Ketepatan ini bukan sahaja memudahkan pengkatalogan serta urusan bibliogra , malah memastikan setiap sumbangan intelektual diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Sudah tiba masanya penerbit Malaysia beralih daripada kebiasaan menggunakan istilah penyelenggara kepada pengenalpastian peranan editorial yang lebih khusus.

Pembaharuan ini bukan sekadar menukar perkataan pada kulit buku, tetapi turut memperbaiki cara kita memahami, mengiktiraf dan merekodkan sumbangan intelektual.

Buku bukan sekadar himpunan halaman bercetak, sebaliknya hasil pemikiran, penelitian, penyusunan dan kerja intelektual.

Oleh itu, setiap peranan yang menyumbang kepada penghasilannya wajar dinamakan dengan tepat.

BERITA LAIN

SISAGC pacu pelancongan sukan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) bakal diteruskan pada 2027 selepas edisi sulungnya tahun ini berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus

Perauk Sarong angkat warisan Sarawak

SUNGAI Sarawak sejak sekian lama menjadi nadi kehidupan masyarakat Kuching dengan menghubungkan kawasan petempatan, menyokong kegiatan ekonomi dan membentuk identiti bandar raya ini. Jadi, pada

BERITA TERBARU

ARAS perluas jaringan seni Borneo

Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS) berhasrat memartabatkan industri seni, budaya dan kreatif Sarawak pada peringkat serantau menerusi penganjuran Island Beats of Borneo 2027 yang bakal

DUNIA hanya persinggahan

Penulis: Pahrol Mohamad Juoi  Penerbit: Jejak Tarbiah  Jumlah halaman: 254  Tahun terbit: 2025  Harga: RM45 DALAM keghairahan mengejar kejayaan dan memenuhi tuntutan kehidupan, manusia sering terlupa bahawa dunia yang dianggap sebagai