Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) bakal diteruskan pada 2027 selepas edisi sulungnya tahun ini berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka peluang kepada Kuching untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.
Kejohanan selama dua hari yang berlangsung di Kelab Golf Sarawak (KGS) itu melabuhkan tirai secara rasmi pada Ahad lalu selepas menyaksikan persaingan antara pemain golf senior dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Penganjuran sulung itu turut memperlihatkan potensi golf senior sebagai wadah yang menggabungkan persaingan sukan, pertukaran budaya dan promosi pelancongan di Sarawak.
Dalam kategori lelaki berusia 55 tahun ke atas, Arni Yahya, 65, muncul juara keseluruhan kategori skor bersih selepas mencatatkan 126 pukulan sepanjang 36 lubang.
Prestasi konsisten yang dipamerkannya membolehkan beliau mengatasi pencabar lain dalam kejohanan yang menggunakan format pertandingan berdasarkan skor bersih.
Bagi kategori wanita berusia 50 tahun ke atas, Lee Jong Ho, 55, dari Korea Selatan pula muncul juara keseluruhan kategori skor bersih selepas merekodkan 135 pukulan, iaitu sembilan pukulan di bawah par.
Lee berjaya mengatasi 20 pencabar wanita lain untuk membawa pulang gelara berkenaan, sekali gus menyerlahkan persaingan sengit dalam kategori itu.
Kejohanan anjuran Borneo SuperAct Events itu diadakan bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan sukan, selain menyediakan ruang kepada pemain golf senior untuk terus aktif dalam aktiviti sukan.
Pengasas dan pemilik Borneo SuperAct Events merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur SISAGC 2026, Datuk Eddie Abdullah berkata, kejohanan itu dirancang bagi melengkapi usaha strategik Kerajaan Sarawak dalam meneroka pasaran pelancongan khusus bernilai tinggi.
Menurutnya, penganjuran acara antarabangsa seperti itu berpotensi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong serta memberikan kesan positif kepada ekonomi tempatan, khususnya sektor perhotelan dan peruncitan.
“Kami amat berbangga kerana dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancong serta memberikan kesan ekonomi yang positif kepada perniagaan tempatan di Kuching, daripada sektor perhotelan hinggalah sektor peruncitan.
“Selain aspek persaingan, kejohanan itu turut mengetengahkan kepentingan aktiviti fizikal dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan golongan berusia,” katanya kepada Suara Sarawak.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atas sokongan yang diberikan, selain Kelab Golf Sarawak sebagai lokasi kejohanan dan Persatuan Golf Amatur Bumiputra Sarawak (PGABS) sebagai rakan strategik.
Penghargaan turut diberikan kepada penaja korporat, termasuk Rimbunan Hijau, Sarawak Energy, TVS, Sarawak Water, Hotel Grand Margherita, Hotel Riverside Majestic, Hotel Waterfront Kuching, Kampung Budaya Sarawak, Hospital Pakar KPJ Kuching dan LT Golf.
Susulan sambutan menggalakkan terhadap edisi sulung itu, penganjur mengesahkan kejohanan berkenaan akan diteruskan pada tahun depan dengan matlamat menjadikan Kuching sebagai destinasi tetap dalam kalendar golf amatur senior Asia.
Usaha itu diharapkan dapat memperluas penyertaan antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan serta mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai lokasi penganjuran acara sukan serantau.





