KUCHING: Kumpulan Ibraco Berhad mengangkat konsep kelestarian ke tahap baharu menerusi pembangunan Arden City, sebuah perbandaran bersepadu di Kota Samarahan yang menekankan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco Berhad, Datuk Chew Chiaw Han berkata, Arden City mencerminkan kepercayaan Ibraco bahawa pembangunan bertanggungjawab mesti seiring dengan kemajuan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.

“Terletak berhampiran institusi utama seperti Pusat Jantung Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pusat Kanser Sarawak yang bakal dibuka, Arden City dibayangkan sebagai sebuah komuniti bersepadu serta berdikari yang menyokong visi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Kota Samarahan sebagai hab utama dalam bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Ini merupakan pelan induk kami bagi membangunkan perbandaran masa hadapan yang saling berhubung, mampan dan berpusatkan manusia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, elemen kelestarian diintegrasikan dalam reka bentuk perbandaran ini termasuk koridor hijau, ruang awam berlandskap dan laluan pejalan kaki yang menjadi antara ciri membantu mengurangkan jejak karbon serta kesan pulau haba bandar.
“Unsur mesra alam ini dibangunkan dengan rundingan bersama pakar kelestarian bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa didiami dan berdaya tahan iklim,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dengan kawasan seluas 76.3 ekar, Arden City menyatukan elemen kediaman, komersial, pejabat, penjagaan kesihatan, gaya hidup dan rekreasi di bawah satu pelan induk yang menyeluruh.
“Keutamaan diberikan kepada kemudahan pejalan kaki dan akses dengan sambungan terus ke Transit Aliran Autonomi (ART) melalui stesen SM05 yang akan datang.
Laluan berbumbung yang menghubungkan stesen ART ke perbandaran akan menyediakan akses yang selamat dan mudah untuk pejalan kaki, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan perbatuan terakhir dan menggalakkan mobiliti rendah karbon,” tambahnya.
Jelasnya, aspek sosial adalah penting dalam perbandaran ini melalui penyediaan dataran awam, ruang berfokuskan kesihatan dan zon komuniti inklusif yang dirancang dengan teliti bagi menggalakkan interaksi, gaya hidup aktif serta memperkukuh hubungan kejiranan.
“Ibraco juga bekerjasama rapat dengan perancang bandar untuk melaksanakan zon fleksibel, membolehkan pembangunan ini berkembang seiring keperluan komuniti dan pertumbuhan masa depan,” katanya.
Ujarnya, The Atrium yang terletak di tengah-tengah perbandaran merupakan hab komersial strategik bertentangan dengan Pusat Kanser Sarawak, Pusat Jantung Sarawak dan berhampiran UNIMAS.
“Dengan gabungan kedai runcit, ruang pejabat dan perniagaan berkaitan kesihatan, The Atrium bakal memenuhi keperluan pelbagai kumpulan termasuk pelajar, kakitangan kesihatan dan penduduk setempat,” katanya.
Tambahnya, pelengkap The Atrium ialah Aster Court, pembangunan apartmen servis yang menawarkan kehidupan bandar moden di tengah-tengah koridor pendidikan dan perubatan Kota Samarahan.
“Menawarkan sejumlah 672 unit yang ditempatkan di dalam dua menara, Aster Court menyediakan susun atur fleksibel termasuk konfigurasi dwi-kunci.
“Setiap unit dilengkapi dengan balkoni dan ruang ampaian, manakala penduduk menikmati akses penuh kepada kemudahan gaya hidup seperti kolam renang, gimnasium, bilik permainan, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak dan banyak lagi.
“Keselamatan dan keselesaan dipastikan melalui kawalan keselamatan 24 jam, lobi lif peribadi dan laluan berbumbung,” ujarnya.
Jelasnya, pembangunan Arden City selaras sepenuhnya dengan agenda kelestarian Malaysia dan turut menyumbang kepada usaha global melalui sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk bandar mampan, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, serta tindakan iklim.



