VOKALIS terkenal kumpulan Noah, Ariel Noah, mencuri perhatian apabila berseloroh tentang kesukarannya mencari pasangan untuk menyertai pertandingan Padel Wars.
Dalam nada bersahaja, Ariel mengakui bahawa mencari pasangan di gelanggang padel sama susahnya dengan mencari pasangan hidup di dunia nyata.
“Saya memang susah nak cari pasangan, baik untuk padel mahupun dalam kehidupan sebenar,” katanya sambil ketawa ketika ditemui pada sesi sidang media Padel Wars barubaru ini.
Ariel turut berkongsi bahawa dirinya kini sedang aktif bermain sukan padel, iaitu gabungan antara tenis dengan skuasy yang semakin popular di kalangan selebriti Indonesia.
Namun begitu, mencari rakan sepasukan yang benar-benar sepadan dari segi gaya permainan bukanlah tugas mudah baginya.
“Padel ini bukan sekadar main pukul bola, kena ada keserasian dengan pasangan.
Kadang-kadang saya dah semangat, tapi rakan sepasukan pula sibuk.
Jadi, memang macam cari pasangan hidup juga, kena sama ‘vibe’,” katanya bersahaja.
Walaupun bergurau, ramai peminat menganggap kenyataan Ariel itu menyiratkan sisi peribadinya yang kini masih solo selepas sekian lama.
Rata-rata orang ramai menyokong penyanyi berkarisma itu untuk terus aktif bersukan sambil mendoakan agar Ariel bukan sahaja menemui rakan sepasukan padel yang sesuai tetapi juga pasangan hidup yang sepadan di luar gelanggang.



