KUCHING: Sejarah, budaya dan warisan masyarakat di seluruh Sarawak perlu didokumentasikan secara sistematik melalui penubuhan arkib memorial bagi memastikan khazanah negeri itu terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan sejarah Sarawak tidak hanya tertumpu kepada tokoh dan peristiwa besar, malah merangkumi kehidupan masyarakat, sejarah kampung, perkembangan bandar raya serta keunikan budaya pelbagai etnik.
Menurutnya, pengiktirafan terhadap konsep arkib memorial menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha pemeliharaan sejarah dan warisan negeri.
“Sejarah kita turut tersimpan dalam dokumen lama, gambar, surat-menyurat, manuskrip, rakaman audio dan video, rekod pentadbiran, adat resam serta cerita masyarakat tempatan,” katanya.
“Jika bahan-bahan ini tidak dikumpul dan dipelihara secara sistematik, kita berisiko kehilangan sebahagian daripada sejarah penting wilayah ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU tersebut pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kepelbagaian etnik di Sarawak yang memiliki keunikan budaya, bahasa, pakaian dan makanan tersendiri menjadikan usaha pemeliharaan warisan lebih penting untuk memastikan identiti masyarakat terus dikenali oleh generasi muda.
Ujarnya, arkib memorial bukan sahaja berfungsi sebagai tempat penyimpanan bahan sejarah, malah berpotensi menjadi pusat pendidikan dan penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh pelajar, guru, ahli akademik serta masyarakat umum.
Sehubungan itu, Royston turut berharap pengumpulan bahan sejarah meliputi seluruh bahagian dan daerah di Sarawak, termasuk aspek demografi, ekonomi, kehidupan sosial, pendidikan, infrastruktur serta perkembangan komuniti setempat.
Katanya, pendekatan menyeluruh itu membolehkan perubahan yang berlaku dalam masyarakat dari satu generasi ke generasi seterusnya direkodkan sebagai sebahagian daripada khazanah sejarah negeri.
Dalam pada itu, Royston menegaskan kepentingan pendigitalan bahan arkib bagi memperluas akses orang ramai terhadap sumber sejarah, khususnya dalam kalangan generasi muda yang banyak mendapatkan maklumat melalui platform digital.
“Pembangunan arkib perlu disokong dasar yang jelas berkaitan pemilihan bahan, pemeliharaan dan akses awam, selain kerjasama dengan komuniti, institusi pendidikan, badan kebudayaan serta penyelidik,” katanya.
“Bahan sejarah tidak seharusnya hanya tersimpan di bilik atau rak tertentu dan sukar dilihat oleh orang ramai, sebaliknya perlu dikembangkan sebagai sumber ilmu yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, khususnya generasi muda,” tambahnya lagi.
Menyentuh aspek tadbir urus, Royston memberitahu, pindaan itu turut memperjelas pembahagian kuasa dan tanggungjawab antara Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak, Lembaga serta Kerajaan Negeri dalam pentadbiran Perpustakaan Negeri Sarawak.
Jelasnya, Seksyen 10 yang baharu membolehkan Menteri memberikan arahan kepada Lembaga berkaitan pelaksanaan kuasa, fungsi dan tanggungjawabnya, tertakluk kepada peruntukan Ordinan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap setiap arahan dan keputusan penting berkaitan perpustakaan disokong garis panduan yang jelas, rekod keputusan teratur serta pelaporan berkala bagi membolehkan pencapaian dinilai dan penambahbaikan dilaksanakan.
Royston turut menyentuh Seksyen 29A yang memberikan kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak untuk meminda jadual melalui pemberitahuan dalam warta, sekali gus membolehkan penyesuaian perkara pentadbiran tertentu dibuat mengikut keperluan semasa dalam kerangka undang-undang.
“Pembangunan Sarawak untuk masa hadapan tidak seharusnya menyebabkan sejarah yang membentuk identiti masyarakatnya dilupakan,” katanya.
“Sejarah, budaya dan identiti merupakan asas penting untuk memahami asal usul serta perjalanan masyarakat Sarawak, meskipun negeri ini terus mengalami perubahan dan pembangunan,” tambahnya.



