ARTIKEL

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

Arkib Negeri Sarawak dijangka siap November 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dokumen kerajaan negeri dan bahan sejarah Sarawak bakal diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minit menerusi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) di Bangunan Baharu Arkib Negeri Sarawak yang dijangka siap November ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee berkata, sistem itu merupakan antara kemudahan utama bangunan seluas 25,476 meter persegi yang terletak bersebelahan Perpustakaan Negeri Sarawak di Petra Jaya.

Katanya, ASRS yang meliputi kawasan seluas 10,000 meter persegi itu direka untuk meningkatkan keselamatan penyimpanan, mempercepat pengambilan dokumen dan meningkatkan kecekapan pengurusan rekod arkib.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Bacaan Ketiga di Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu berkata, bangunan berkenaan turut dilengkapi sistem kawalan iklim bagi melindungi dokumen dan bahan sejarah daripada kerosakan akibat perubahan suhu serta faktor persekitaran.

Kemudahan lain termasuk perkhidmatan pendigitalan dan penukaran media, makmal pemulihan serta pemprosesan bahan arkib, ruang penyelidikan dan latihan, kawasan bacaan awam, galeri pameran serta pusat pelawat.

Menurutnya, kemudahan itu dijangka memperkukuh pemeliharaan khazanah sejarah Sarawak, selain memudahkan penyelidik, pelajar dan orang ramai mengakses rekod serta bahan sejarah negeri ini.

Bagaimanapun, akses kepada rekod untuk rujukan awam tertakluk pada dasar, prosedur permohonan, keutamaan pendigitalan dan sekatan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, kemajuan pendigitalan, kecekapan pengurusan rekod dan kemudahan akses awam penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur arkib itu terus memberikan manfaat kepada Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU