KUCHING: Arkib Negeri Sarawak bakal memperkenalkan sistem penyimpanan berasaskan robotik menjelang penganjuran International Council on Archives (ICA) Conference 2027 yang akan berlangsung di Kuching.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, berkata bangunan baharu Arkib Negeri Sarawak yang dijangka siap pada pertengahan 2026 akan dilengkapi teknologi moden termasuk Archival Storage and Retrieval System berasaskan kaedah digital dan robotik.
“Teknologi ini akan ditampilkan kepada peserta persidangan sebagai contoh aplikasi terkini dalam bidang pengurusan arkib, di samping menjadi platform perkongsian ilmu dengan pengamal arkib dari seluruh dunia.
“Perkara ini amat penting kerana arkib menyimpan rekod awam seperti fail dan dokumen kerajaan yang boleh dijadikan bahan bukti untuk menyelesaikan isu pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Menurut beliau, penggunaan teknologi moden bukan sahaja menjadikan pengurusan dokumen lebih efisien, malah memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban kerajaan melalui penyimpanan rekod awam yang sahih.
Sebagai contoh, katanya, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih boleh dirujuk walaupun sudah lebih 60 tahun berlalu kerana adanya rekod awam yang lengkap dan terpelihara.
“Ketika ini Sarawak sedang pesat membangun dengan pelbagai projek bernilai berbilion ringgit. Jadi, 10 atau 50 tahun akan datang, rekod ini boleh dirujuk semula untuk mengetahui perkara sebenar dan merungkai persoalan yang timbul pada bila-bila masa,” jelasnya.
Selain menekankan teknologi moden, Sarawak juga mengutamakan pendekatan inklusif dengan melibatkan arkib komuniti, sekolah serta institusi tempatan bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan bahan arkib sebagai sumber rujukan sejarah.

