KUCHING: Pembangunan arkib peringatan di Sarawak perlu disokong kepakaran kurator dan ahli arkib serta penggunaan teknologi digital bagi memastikan bahan sejarah negeri dapat dipelihara dan dipersembahkan dengan lebih berkesan.
ADUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pengenalan definisi dan fungsi arkib peringatan menerusi Rang Undang-Undang Pustaka Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 memberikan mandat perundangan yang jelas kepada Pustaka Negeri Sarawak untuk mengumpul, menyimpan, memelihara dan mempamerkan bahan bersejarah berkaitan tokoh serta peristiwa penting di negeri ini.
Beliau berkata inisiatif itu berpotensi meningkatkan pemahaman generasi muda dengan sejarah dan warisan Sarawak, selain memupuk semangat patriotisme serta jati diri dalam kalangan rakyat.
“Usaha ini penting bagi memastikan bahan-bahan sejarah dapat dipersembahkan secara lebih interaktif, menarik dan mudah difahami,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Huang berkata perhatian juga perlu diberikan kepada penyediaan infrastruktur yang bersesuaian bagi menyokong pengurusan arkib memorial, termasuk penerapan teknologi digital dan pelibatan tenaga kerja berkemahiran.
Beliau menyifatkan pelaburan dalam pembangunan dan pengurusan maklumat serta warisan negeri sebagai langkah strategik yang dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat Sarawak.
Selain itu, beliau berkata pindaan berkenaan berpotensi meningkatkan kecekapan pentadbiran Pustaka Negeri Sarawak melalui penghapusan keperluan kelulusan berperingkat, sekali gus mempercepat proses membuat keputusan dan pelaksanaan program perpustakaan.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan peranan profesional lembaga pengarah dalam memberikan nasihat dan pandangan kepada menteri sebelum sesuatu keputusan dibuat, walaupun pindaan itu memperjelas kuasa menteri dalam menentukan hala tuju strategik Pustaka Negeri Sarawak.



