ARMY global BTS menekankan sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap kumpulan K-pop itu menerusi kenyataannya pada minggu lalu.
Kenyataan yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial oleh kumpulan peminat terbesar BTS ini hadir selepas beberapa komen dan dakwaan media Korea Selatan serta beberapa peminat susulan insiden Suga yang terlibat dalam kes memandu dalam keadaan mabuk.
Pada awal Ogos, polis Seoul menyatakan mereka menemui Suga pada 6 Ogos selepas dia terjatuh dari skuter elektrik berhampiran rumahnya.
Walaupun kenyataan yang mewakili 127 bahagian ARMY di seluruh dunia ini tidak menyebut secara spesifik tentang insiden Suga, mesej yang dipaparkan pada 8 September lalu itu berakhir dengan penegasan semula.
“Seperti yang dinyatakan, ARMY global, baik di dalam mahupun luar negara, berkumpul untuk menyokong dengan satu suara bahawa kami terus menyokong semua tujuh ahli BTS.
“Selain itu, kami mendesak media untuk tidak memberi kepercayaan kepada individu yang mewakili tanpa pengesahan,” katanya.



