KUCHING: Penyediaan pusat pengundian awal di Kuala Lumpur atau Johor Bahru antara cadangan bagi memudahkan pengundi Sarawak di Semenanjung Malaysia menunaikan tanggungjawab tanpa perlu menanggung kos perjalanan pulang yang tinggi.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Arnold Puyok berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan sebagai penyelesaian jangka panjang, selain memperluas kemudahan undi pos kepada pengundi Sarawak yang bekerja atau menetap di luar negeri.
Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Borneo (IBS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), langkah berkenaan dapat mengurangkan kekangan kewangan dan jarak perjalanan yang menjadi antara halangan kepada pengundi untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Isu itu semakin relevan susulan penetapan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), iaitu kurang dua minggu sebelum sambutan Krismas.
“Dilema ini memang wujud kerana tambang penerbangan pada Disember biasanya meningkat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jadual PRU DUN Sarawak Ke-13 yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan hari penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember.
Pengundi yang sudah merancang untuk pulang menyambut Krismas mungkin mempercepat perjalanan bagi membolehkan mereka mengundi dan terus berada di kampung.
Bagaimanapun, mereka yang tidak mempunyai perancangan untuk pulang berkemungkinan tidak sanggup menanggung kos perjalanan semata-mata untuk mengundi.
Beliau turut mencadangkan langkah jangka pendek, termasuk subsidi tambang penerbangan, penambahan kekerapan penerbangan serta penyelarasan tarikh pengundian dengan musim cuti bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, kesukaran pulang mengundi boleh menyebabkan suara pengundi Sarawak di luar negeri kurang terwakili dalam proses demokrasi, meskipun mereka turut terkesan oleh dasar kerajaan negeri.
Mengulas kemungkinan kesan terhadap keputusan pilihan raya, Arnold berpandangan ketidakhadiran sebahagian pengundi luar Sarawak mungkin memberi kesan terhad kepada GPS secara keseluruhan berikutan kekuatan jentera akar umbi dan sokongan pengundi teras gabungan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata kadar keluar mengundi yang rendah berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi marginal, khususnya kawasan yang menyaksikan persaingan sengit dengan perbezaan undi kecil.
Beliau turut merujuk Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2021 apabila kadar keluar mengundi yang rendah di beberapa kawasan bandar, khususnya kawasan yang mempunyai ramai pengundi Cina, dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan DAP di beberapa kerusi.
Justeru, beliau menegaskan kemudahan pengundian perlu diperluas bagi memastikan pengundi Sarawak yang berada di luar negeri mempunyai peluang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.




