SRI AMAN: Keprihatinan terhadap golongan rentan terus menjadi keutamaan Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menerusi penyaluran bantuan makanan, kerusi roda dan barangan keperluan harian kepada warga emas serta orang kurang upaya (OKU) di Kampung Nanga San, hari ini.
Program diketuai Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling bersama ahli jawatankuasa bertujuan meringankan beban golongan memerlukan serta memastikan kebajikan mereka mendapat perhatian.
Antara bantuan disalurkan termasuk bekalan makanan kepada sebuah keluarga OKU, kerusi roda kepada sebuah keluarga OKU lain serta barangan keperluan asas dan kelengkapan mandian kepada dua warga emas.
Rombongan JAKKSA disambut wakil tuai rumah, Munan Amoh, yang menghargai usaha pertubuhan itu membantu penduduk kampung, khususnya golongan yang memerlukan.
Menurutnya, bekalan makanan dapat mengurangkan perbelanjaan harian keluarga penerima, manakala kerusi roda membantu meningkatkan mobiliti dan memudahkan urusan seharian.
Warga emas dan OKU bukan sahaja memerlukan bantuan berbentuk material, malah perhatian serta sokongan berterusan daripada masyarakat.
Justeru, JAKKSA akan terus mengenal pasti keluarga kurang berkemampuan, warga emas dan OKU di kawasan luar bandar sekitar Sri Aman bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Program di Kampung Nanga San itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan berterusan JAKKSA dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.




