ARTIKEL

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menyempurnakan pelancaran awal Jambatan Bandar Lawas pada Jumaat. Foto: UKAS

Jambatan Bandar Lawas pacu pembangunan wilayah utara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Pembukaan Jambatan Bandar Lawas kepada orang awam mulai hari ini dijangka membuka lembaran baharu pembangunan daerah itu, khususnya menerusi peningkatan kesalinghubungan, kemudahan pergerakan penduduk dan pertumbuhan aktiviti ekonomi di wilayah utara Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata jambatan sepanjang 642 meter dibina dengan kos RM149 juta menjadi pemangkin kepada pembangunan Bandar Lawas secara lebih menyeluruh dan terancang.

Menurutnya, kemudahan infrastruktur berkenaan melengkapi jaringan jalan raya sedia ada serta projek pembangunan yang sedang dilaksanakan, termasuk Laluan Pesisir Utara (Northern Coastal Highway) dan laluan Transborder yang bakal memperkukuh hubungan strategik antara Sarawak dengan Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran awal Jambatan Bandar Lawas di sini, hari ini.

Awang Tengah, yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) berkata, kewujudan jambatan itu membolehkan pembangunan kawasan sekitar sungai dirancang lebih teratur, termasuk cadangan menjadikan kawasan tepian sungai sebagai pusat rekreasi dan tumpuan aktiviti perniagaan.

Perancangan pembangunan Bandar Lawas turut merangkumi penyediaan bangunan awam dan kerajaan, kawasan komersial, perumahan serta kawasan lapang bagi memastikan pertumbuhan bandar seimbang dan memenuhi keperluan penduduk.

Dalam pada itu, Pelan Tempatan bagi Lawas dan Limbang sedang disediakan dengan mengambil kira potensi ekonomi kedua-dua daerah, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, penternakan, akuakultur, perikanan, industri kayu bernilai tinggi, perlombongan, minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), NRDA, agensi kerajaan berkaitan, kontraktor dan perunding atas kerjasama sehingga projek itu mencapai tahap siap praktikal lebih awal daripada jadual.

Menurut RECODA, projek berkenaan mencapai tahap siap praktikal pada 15 Oktober 2026 dan dijangka memendekkan tempoh perjalanan antara kawasan utara dengan selatan Lawas daripada kira-kira 50 minit kepada 25 minit.

Jambatan itu menghubungkan Jalan Pulau Salam secara terus ke Kampung Ladang Baru, sekali gus melengkapkan jaringan Laluan Pesisir Utara serta memperkukuh akses ke Merapok dan sempadan Sabah.

Majlis perasmian rasmi jambatan itu dijadualkan berlangsung pada 18 November ini dan akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

BERITA LAIN

Tarikh mengundi berpotensi pengaruhi kerusi marginal

KUCHING: Penetapan 12 Disember sebagai hari pengundian berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi marginal, khususnya susulan kekangan kos perjalanan yang mungkin menghalang pengundi perantau pulang menunaikan

AI bukan alat sebar fitnah dan kandungan palsu – Karim

KUCHING: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu dan menyebarkan fitnah boleh mengelirukan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13. Ketua Penerangan Parti

BERITA TERBARU

Tarikh mengundi berpotensi pengaruhi kerusi marginal

KUCHING: Penetapan 12 Disember sebagai hari pengundian berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi marginal, khususnya susulan kekangan kos perjalanan yang mungkin menghalang pengundi perantau pulang menunaikan

AI bukan alat sebar fitnah dan kandungan palsu – Karim

KUCHING: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu dan menyebarkan fitnah boleh mengelirukan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13. Ketua Penerangan Parti