KUCHING: Penetapan 12 Disember sebagai hari pengundian berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi marginal, khususnya susulan kekangan kos perjalanan yang mungkin menghalang pengundi perantau pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, keadaan itu boleh memberi kesan kepada kadar keluar mengundi, sekali gus menguntungkan parti yang mempunyai jentera akar umbi lebih kukuh.
Peralihan sokongan antara 300 hingga 500 pengundi sahaja boleh menentukan keputusan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan persaingan sengit.
“Jika kadar keluar mengundi rendah, keadaan ini boleh memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai keupayaan menggerakkan pengundi tempatan secara berkesan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jadual PRU Sarawak Ke-13 yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan hari penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember.
Dr Mazlan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat mempunyai kelebihan dari segi kekuatan jentera akar umbi dan rangkaian cawangan yang membolehkannya menggerakkan pengundi setempat.
Sebaliknya, parti pembangkang mungkin berdepan cabaran menarik pengundi perantau, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Tarikh pengundian yang ditetapkan hampir dua minggu sebelum Krismas turut menyukarkan rakyat Sarawak yang bekerja atau melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, Sabah dan luar negara untuk pulang mengundi.
“Apabila berdepan pilihan antara pulang mengundi atau berkumpul bersama keluarga sempena Krismas, ada yang mungkin lebih mengutamakan sambutan perayaan itu,” katanya.
Beliau berkata, kos tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak menjelang musim perayaan dianggarkan antara RM800 hingga RM1,500, tidak termasuk perbelanjaan pengangkutan darat ke kawasan pedalaman.
Kos berkenaan berpotensi menyebabkan sebahagian pengundi perantau tidak pulang mengundi, sekali gus menjejaskan kadar penyertaan dalam pilihan raya.
Beliau turut merujuk kadar keluar mengundi sekitar 60 peratus pada PRU Sarawak Ke-12 pada 2021 sebagai gambaran cabaran meningkatkan penyertaan pengundi.
Sehubungan itu, Dr Mazlan mencadangkan supaya SPR mempertimbangkan peluasan kemudahan undi pos atau pengundian awal kepada rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Beliau turut mencadangkan pemberian subsidi tambang penerbangan atau penetapan tambang siling bagi mengurangkan beban kewangan pengundi perantau, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.
“SPR wajar mengambil kira faktor demografi, musim perayaan dan kos perjalanan ketika menetapkan kalendar pilihan raya supaya lebih ramai pengundi berpeluang menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.




