KONSERT Mini Bersama Artis Veteran 2026 menghimpunkan barisan penyanyi dan penghibur berpengalaman bagi mengimbau nostalgia kegemilangan industri muzik Sarawak, sekali gus mengetengahkan keunikan muzik tempatan yang merentasi generasi.
Konsert percuma anjuran Star Audio One dengan sokongan Majlis Seni Sarawak (MSS) itu berlangsung di Go Down Amphitheater, Tebingan Kuching, pada Sabtu lalu menampilkan artis veteran berusia 40 tahun ke atas yang pernah mencipta nama menerusi penghasilan album dan lagu serta pelibatan mereka dalam industri muzik tempatan.
Pemilik Star Audio One, Abdul Halim Mostapha berkata, penganjuran program itu bertujuan mengangkat martabat artis, penyanyi, pemuzik dan penggiat seni tempatan, khususnya di Sarawak, selain menyediakan platform yang lebih luas untuk mereka mengembangkan bakat serta meningkatkan potensi masingmasing.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar ruang hiburan, malah menjadi usaha untuk menghargai sumbangan penggiat seni yang telah mewarnai industri muzik tempatan sejak sekian lama.
Beliau berkata, pemilihan artis veteran pada edisi kali ini dibuat untuk memberikan tumpuan kepada penyanyi dan kumpulan yang pernah menghasilkan album atau lagu serta mempunyai pengalaman luas dalam industri muzik.
“Jika tahun lalu kami menampilkan gabungan artis baharu dan lama, tahun ini kami memberi tumpuan kepada artis berusia 40 tahun ke atas yang pernah mencipta nama suatu ketika dahulu dan masih aktif hingga sekarang,” katanya kepada Suara Sarawak selepas konsert berkenaan.
Abdul Halim berkata, konsep persembahan tahun ini turut diperluas dengan menggabungkan muzik etnik, moden dan rock bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kepelbagaian genre muzik tempatan diketengahkan, sekali gus memberikan peluang kepada masyarakat untuk menikmati lagu-lagu popular yang dipersembahkan dalam pelbagai bahasa dan dialek di Sarawak.
“Konsep dan genre kali ini agak berbeza. Sebelum ini lebih banyak muzik etnik, tetapi tahun ini kami gabungkan muzik etnik, moden dan rock,” katanya.
Antara tarikan utama konsert itu termasuk persembahan kumpulan Legacy yang pernah popular menerusi lagu Dua Jiwa Satu Hati dan Ditelan Pahit, Dibuang Sayang.
Kumpulan rock JS Boys yang pernah menghasilkan album Perjuangan pada era 1990-an turut mencuri perhatian penonton, sekali gus mengimbau kenangan terhadap perkembangan muzik rock tempatan pada zaman berkenaan.
Antara artis lain yang turut memeriahkan pentas ialah Safar Ghaffar, Rannee Pat, Adlan Rampage, Prescilla Anis, Zani Ajan, Jennifer Jack dan Azlan Golie.
Kepelbagaian persembahan itu memberikan peluang kepada artis pelbagai latar belakang dan genre muzik untuk berkongsi pentas, selain memperlihatkan kekayaan kreativiti penggiat seni Sarawak.
Konsert turut diserikan dengan persembahan tarian oleh kumpulan Seri Tandi, manakala DJ Reynaz Merpati dan DJ Azree bertindak sebagai pengacara majlis.
Lebih menarik, konsert berkenaan turut menampilkan lagu dalam bahasa Melayu, dialek Melayu Sarawak, bahasa Iban, Bidayuh dan Melanau, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya serta warisan muzik masyarakat di negeri ini.
Bagi Abdul Halim, penggunaan bahasa dan dialek tempatan dalam karya muzik merupakan antara elemen penting yang perlu terus diketengahkan supaya warisan berkenaan tidak terpinggir dalam arus perkembangan muzik moden.
Beliau berkata, lagu-lagu lama mempunyai nilai tersendiri kerana bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membangkitkan kenangan serta menghubungkan pengalaman generasi terdahulu dengan masyarakat masa kini.
Dalam masa yang sama, penganjuran konsert itu turut membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali semula karya dan sumbangan artis veteran yang mungkin kurang mendapat perhatian dalam industri hiburan masa kini.
Menurutnya, penganjuran secara percuma juga merupakan pendekatan untuk memastikan lebih ramai anggota masyarakat dapat menikmati persembahan berkenaan tanpa perlu membayar tiket.
“Kami menyasarkan jumlah penonton yang agak tinggi kerana acara ini percuma dan tiada bayaran tiket dikenakan.
“Dalam masa yang sama, kami mahu memberi peluang kepada masyarakat untuk kembali menghayati lagu-lagu yang pernah popular serta menghargai sumbangan artis veteran dalam perkembangan industri muzik Sarawak,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui penganjuran program seumpama itu mempunyai cabaran tersendiri, terutamanya dalam pemilihan artis yang bersesuaian serta memastikan setiap persembahan memenuhi jangkaan penonton.
Pemilihan barisan penghibur memerlukan pertimbangan yang teliti bagi mengimbangi pengalaman artis veteran, kepelbagaian genre dan daya tarikan persembahan.
Aspek kualiti persembahan serta perhubungan awam turut perlu diberikan perhatian bagi memastikan program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Bagi memperluas peluang kepada penggiat seni, Abdul Halim berharap program berkenaan dapat dianjurkan pada skala lebih besar dan meriah pada masa hadapan.
Beliau turut berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan artis dari Semenanjung Malaysia bagi memperluas jaringan industri muzik serta membuka peluang kepada artis Sarawak untuk membina hubungan profesional di luar negeri.
Katanya, penggunaan pentas yang lebih besar dan lokasi yang lebih luas juga antara perancangan yang diharapkan dapat direalisasikan bagi menampung kehadiran lebih ramai penonton serta meningkatkan mutu penganjuran.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penyanyi baharu supaya sentiasa berdisiplin, merendah diri dan tidak terlalu mendesak untuk mendapatkan pengiktirafan walaupun mula mendapat perhatian atau mencapai kejayaan.
Menurutnya, sikap profesional dan kesediaan untuk terus belajar penting bagi memastikan seseorang artis mampu bertahan dalam industri muzik yang sentiasa berubah dan semakin kompetitif.
Beliau berkata, bakat sahaja tidak mencukupi tanpa usaha berterusan, disiplin serta sikap menghormati rakan seperjuangan dan pihak yang membantu mengembangkan kerjaya seni.
Abdul Halim berharap platform seperti Konsert Mini Bersama Artis Veteran dapat diteruskan sebagai wadah untuk mempertemukan penggiat seni, menghargai perjalanan muzik tempatan dan memperkenalkan karya mereka kepada generasi baharu.
Penganjuran seumpama itu juga diharapkan dapat memperkukuh kedudukan muzik Sarawak sebagai sebahagian daripada khazanah seni negara, di samping memastikan lagu-lagu tempatan serta kepelbagaian bahasa masyarakat berbilang kaum terus terpelihara untuk generasi akan datang.





