ARTIKEL

Elak beli emas ikut emosi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kenaikan harga emas di pasaran dunia bukan sahaja menarik perhatian pelabur berpengalaman, malah mendorong ramai orang, khususnya golongan muda menjadikan logam berharga itu sebagai instrumen simpanan jangka panjang.

Perubahan itu turut dirasai pengasas muda Kedai Emas LAVINCE, Peter Liu, 32, yang berpangkalan di Kuching yang kini mengendalikan 13 cawangan, iaitu 11 di Sarawak dan dua di Sabah.

Peter yang turut aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Junior Chamber International (JCI) berkata, perubahan ketara dapat dilihat menerusi pertanyaan pelanggan yang kini semakin tertumpu pada pergerakan harga emas.

Menurutnya, sebelum ini pertanyaan pelanggan lebih banyak berkisar tentang reka bentuk barang kemas untuk perkahwinan, hadiah dan kegunaan peribadi.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan masyarakat semakin menyedari potensi emas sebagai aset simpanan, terutama ketika ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global mendorong pelabur mencari instrumen yang dianggap mampu membantu melindungi nilai kekayaan.

“Dulu, ramai pelanggan datang ke kedai emas untuk membeli barang kemas bagi tujuan perkahwinan, hadiah, perayaan atau kegunaan sendiri.

“Sekarang, semakin ramai yang masuk kedai dan perkara pertama mereka tanya ialah sama ada harga emas sedang naik atau turun,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan media sosial turut membantu meningkatkan kesedaran golongan muda terhadap harga emas, berita ekonomi dan perkembangan pasaran antarabangsa.

Malah, tanggapan bahawa seseorang perlu mempunyai wang yang banyak sebelum mula menyimpan emas semakin berubah apabila pembelian kini boleh disesuaikan mengikut kemampuan masing-masing.

Menurutnya, perkara paling penting bukan jumlah pembelian pada peringkat awal, sebaliknya disiplin untuk menyimpan secara konsisten.

Bagaimanapun, Peter mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membeli emas hanya kerana bimbang terlepas peluang ketika harga sedang meningkat.

Beliau berkata, antara kesilapan lazim ialah membuat keputusan berdasarkan perasaan takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO) sehingga sanggup menggunakan sebahagian besar wang simpanan untuk membeli emas ketika harga melonjak.

Apabila berlaku pembetulan harga, pembeli yang tidak bersedia pula mudah panik dan bimbang mengalami kerugian.

“Walaupun trend emas dalam jangka panjang berpotensi meningkat, pergerakannya bukan sentiasa sehala. Ada masa harga naik, turun dan mengalami pembetulan.

“Jadi, jangan membeli kerana emosi.

Sebaliknya, kita perlu memahami tujuan menyimpan emas dan mempunyai perancangan yang jelas,” katanya.

Mengulas sama ada emas masih berbaloi dibeli ketika harganya tinggi, Peter berkata, perkara itu bergantung pada matlamat pembelian serta tempoh seseorang merancang untuk menyimpannya.

Katanya, pembeli yang mengharapkan keuntungan dalam tempoh singkat tidak seharusnya menganggap kenaikan harga sebagai jaminan pulangan kerana pasaran emas turut dipengaruhi pelbagai faktor yang sukar diramal.

Sebaliknya, bagi mereka yang merancang untuk menyimpan emas dalam jangka panjang, pembelian secara berperingkat-peringkat boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kebergantungan pada satu paras harga.

“Apabila harga emas murah, ada yang menunggu kerana berharap harganya turun lagi.

Apabila harga naik, mereka pula takut sudah terlalu mahal.

“Akhirnya, bertahun-tahun pun belum mula menyimpan.

Bagi saya, lebih penting mempunyai disiplin menyimpan daripada cuba meneka harga paling rendah dalam pasaran,” katanya.

Peter turut menjelaskan, barang kemas masih mendapat permintaan, namun pembeli perlu memahami perbezaan antara pembelian untuk kegunaan peribadi dengan pembelian khusus bagi tujuan pelaburan.

Hal ini demikian kerana kos upah pembuatan, selain perbezaan antara harga belian dengan harga jualan semula, boleh mempengaruhi jumlah wang yang diterima apabila barang kemas dijual kembali.

Justeru, pengguna disarankan supaya meneliti ketulenan emas, berat, kos upah, harga belian semula dan syarat transaksi sebelum membuat keputusan.

Dalam pada itu, beliau melihat ketidaktentuan geopolitik, pergerakan nilai dolar Amerika Syarikat (AS), inflasi, kadar faedah dan pembelian emas oleh bank pusat sebagai antara faktor penting yang boleh mempengaruhi hala tuju harga emas.

Katanya, ketegangan geopolitik lazimnya meningkatkan minat terhadap emas sebagai aset perlindungan nilai, manakala perubahan kadar faedah AS dan kekuatan dolar turut mempengaruhi daya tarikan logam berharga itu kepada pelabur.

Namun, beliau mengingatkan, harga emas masih terdedah kepada turun naik dan sebarang jangkaan kenaikan perlu dinilai secara berhati-hati.

Bagi individu yang mempunyai RM10,000 untuk memulakan simpanan emas, Peter mencadangkan supaya pembelian secara berperingkatperingkat dipertimbangkan, khususnya bagi mereka yang masih baharu dalam pasaran.

Sebagai contoh, wang berkenaan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk tujuan pembelian, berbanding menggunakan keseluruhan jumlah dalam satu transaksi.

Kaedah itu membolehkan pembeli mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pemilihan masa pembelian, walaupun tidak menjamin keuntungan atau mengelakkan kerugian sekiranya harga emas terus merosot.

Dalam masa yang sama, LAVINCE Gold & Jewellery menawarkan kemudahan simpanan emas yang membolehkan pelanggan menetapkan harga pembelian berdasarkan harga semasa melalui kaedah pembayaran berperingkat-peringkat atau Easy Payment, tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat.

Kemudahan itu boleh menjadi pilihan kepada pelanggan yang ingin merancang pembelian, namun mereka disarankan supaya memahami sepenuhnya tempoh pembayaran, syarat penetapan harga, kos berkaitan dan ketetapan sekiranya berlaku perubahan harga.

Mengulas prospek pasaran dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, Peter berpandangan, harga emas masih berpotensi mencatatkan rekod baharu sekiranya faktor sokongan seperti ketidaktentuan global, permintaan bank pusat dan perubahan dasar monetari terus mempengaruhi pasaran.

Bagaimanapun, beliau mengakui pembetulan harga masih boleh berlaku dan tiada pihak yang mampu menentukan paras terendah atau tertinggi pasaran dengan tepat.

Bagi Peter, kejayaan dalam perniagaan emas bukan sekadar bergantung pada keupayaan mengikuti pergerakan harga, tetapi juga pada kepercayaan pelanggan yang dibina melalui pendekatan jujur, penerangan yang jelas dan perkhidmatan yang mengutamakan keperluan pengguna.

Katanya, pelanggan perlu diberikan maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan sendiri, bukannya didorong untuk membeli semata-mata kerana bimbang harga akan meningkat.

Dalam pasaran emas yang semakin mendapat perhatian, kesedaran kewangan dan disiplin menyimpan dilihat sama penting dengan pemilihan masa pembelian.

“Perkara yang lebih penting bukan sekadar mencari harga paling rendah, tetapi mempunyai strategi pembelian yang sesuai dengan kemampuan dan matlamat masing-masing,” katanya.

BERITA LAIN

Qistina Batrisyia bintang cilik Sarawak

Bermula dengan penyertaan dalam pertandingan ratu cilik ketika berusia enam tahun, Nur Qistina Batrisyia Samsudin kini semakin menyerlah sebagai bakat muda yang meraih pelbagai gelaran

BERITA TERBARU