Bermula dengan penyertaan dalam pertandingan ratu cilik ketika berusia enam tahun, Nur Qistina Batrisyia Samsudin kini semakin menyerlah sebagai bakat muda yang meraih pelbagai gelaran dalam bidang peragaan dan pertandingan ratu cilik di Sarawak.
Pada usia 12 tahun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) RPR Jalan Astana itu bukan sahaja berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan, malah menyimpan cita-cita besar untuk menjadi pensyarah yang disegani pada masa hadapan.
Berasal dari Kuching, Qistina melihat penyertaannya dalam pertandingan ratu cilik sebagai peluang untuk membina keyakinan diri, menimba pengalaman dan menguji kemampuan sendiri.
“Bagi saya, menyertai pertandingan bukan sekadar mahu menang atau membawa pulang trofi, tetapi juga peluang untuk belajar menjadi lebih berani, yakin dan bersedia mencuba perkara baharu.
“Minat saya terhadap dunia peragaan dan ratu cilik bermula ketika berusia enam tahun.
“Sejak itu, setiap pengalaman di pentas menjadi ruang untuk mempelajari cara membawa diri, berkomunikasi dan menampilkan personaliti tersendiri di hadapan khalayak,” katanya kepada Suara Sarawak.
Daripada seorang kanakkanak yang baru berjinak-jinak dalam dunia peragaan, Qistina kini semakin berpengalaman menghadapi suasana pertandingan yang memerlukan persediaan, disiplin dan kesungguhan.
Bagaimanapun, kejayaan yang diraih tidak menyebabkan Qistina mengetepikan tanggungjawab sebagai murid, sebaliknya pendidikan tetap menjadi keutamaan bagi mengejar impian masa depan.
KELUARGA SUMBER KEKUATAN
Di sebalik perjalanan kejayaan Qistina, sokongan keluarga menjadi salah satu sumber dorongan utama dalam mengembangkan bakat dan minatnya.
Bapanya, Samsudin, merupakan seorang guru di SK RPR Jalan Astana, manakala ibunya bekerja di Maybank.
Latar belakang ibu bapanya turut membentuk persekitaran kehidupan Qistina, khususnya dalam memahami kepentingan pendidikan, tanggungjawab dan usaha untuk mencapai kejayaan.
Bagi kanak-kanak yang aktif menyertai pertandingan, sokongan keluarga penting bagi memastikan aktiviti yang diminati dapat diseimbangkan dengan pembelajaran dan kehidupan seharian.
“Saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepada saya.
Sokongan mereka membuatkan saya lebih berani untuk mencuba dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.
“Saya bercita-cita menjadi pensyarah yang disegani.
Saya mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai impian itu dan menjadi seseorang yang boleh berkongsi ilmu serta memberikan manfaat kepada orang lain,” ujarnya.
Qistina sedar impiannya untuk menjadi pensyarah memerlukan usaha berterusan, pencapaian akademik yang baik dan kesungguhan menimba ilmu.
Cita-cita itu juga menjadi dorongan untuknya terus belajar dan memperbaik diri meskipun aktif menyertai pertandingan.
DERETAN GELARAN MEMBANGGAKAN
Kesungguhan Qistina dalam bidang peragaan terserlah menerusi beberapa kejayaan yang diraih sejak mula menceburi dunia ratu cilik.
Antara pencapaiannya termasuklah gelaran Ratu Etnik Junior Sarawak 2020, diikuti kejayaan muncul sebagai juara Miss Gawai Festival 2024.
Pada 2025, dia menambah koleksi kemenangan menerusi gelaran juara Little Miss Cheongsam dan Miss Patriotic Sarawak .
Lebih membanggakan, Qistina turut diberikan peluang untuk mewakili Sarawak dalam pertandingan yang lebih besar di Kuala Lumpur pada tahun sama, sekali gus memperoleh pengalaman berharga untuk mengembangkan potensinya.
Pada 2026, Qistina meneruskan kejayaannya menerusi gelaran juara Youth Eco Runway, Kid Pageant Net Cost, Miss Little Art Pop dan Junior Model Search.
Deretan kejayaan itu memperlihatkan pelibatannya yang konsisten dalam bidang berkenaan, selain membuka ruang untuknya mengenali peserta lain serta mempelajari pelbagai perkara baharu.
“Setiap kemenangan memang menggembirakan, tetapi saya juga belajar banyak perkara apabila menyertai pertandingan.
“Saya mahu terus memperbaik diri, menerima teguran dan memberikan persembahan yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Bagi Qistina, setiap pertandingan memberikan pengalaman tersendiri yang tidak semestinya diukur melalui kemenangan semata-mata.
Pengalaman berhadapan dengan juri, berinteraksi dengan peserta lain dan membuat persediaan sebelum pertandingan turut membantu membina keberanian serta kematangan dirinya.
BIMBINGAN MENGASAH POTENSI
Dalam setiap penyertaan, Qistina turut mendapat sokongan dari segi penampilan menerusi rekaan pakaian khas daripada Razz Couture.
Busana yang disediakan membantu menyerlahkan penampilannya mengikut konsep dan tema pertandingan, sekali gus melengkapkan persediaan sebelum melangkah ke pentas.
Dia juga merupakan antara anak didik Razz Talent Academy yang menyediakan bimbingan dan latihan bagi membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran persembahan.
Pendedahan tersebut membantunya memahami bahawa penampilan yang baik perlu disertai persediaan, disiplin dan kesediaan menerima tunjuk ajar.
Selain menyertai pertandingan, Qistina turut meminati aktiviti menari dan mewarna yang memberikannya ruang untuk meneroka kreativiti serta menzahirkan minat terhadap seni.
“Saya suka menari, mewarna dan menyertai pertandingan ratu cilik kerana setiap aktiviti memberikan pengalaman yang berbeza.
Saya berharap dapat terus belajar dan mengembangkan bakat yang saya ada,” ujarnya.
IMPIAN MENJADI PENSYARAH DISEGANI
Walaupun sudah meraih pelbagai gelaran pada usia muda, Qistina menyedari perjalanannya masih panjang.
Pada usia 12 tahun, Qistina masih mempunyai ruang untuk terus belajar, meneroka minat dan mempersiapkan diri bagi mencapai cita-citanya.
Baginya, kejayaan dalam pertandingan merupakan pencapaian yang membanggakan, namun pendidikan tetap menjadi bekalan utama untuk membina masa depan.
Daripada seorang kanakkanak yang mula mengenali pentas pada usia enam tahun, Qistina kini mempunyai pengalaman yang boleh dijadikan bekalan untuk terus berkembang.
Dengan sokongan keluarga, bimbingan yang diterima dan kesungguhan menimba ilmu, dia berpeluang mengembangkan potensinya dalam bidang seni persembahan dan akademik.
Bagi bintang cilik dari Kuching ini, setiap langkah yang diambil hari ini merupakan sebahagian daripada perjalanan panjang untuk membina keyakinan, mengejar impian dan mencipta masa depan yang lebih cerah.





