ARTIKEL

MANGGUNG DI MUARA bawa dimensi baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KEJAYAAN menghimpunkan lebih 4,000 peminat menerusi konsert A Night With Andmesh di Stadium Perpaduan pada November tahun lalu membuktikan Kuching mempunyai potensi besar sebagai lokasi penganjuran acara muzik berskala besar.

Sambutan luar biasa terhadap konsert yang menampilkan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng itu turut menjadi pembakar semangat kepada penganjur tempatan untuk terus menghidupkan industri muzik di Sarawak.

Berbekalkan momentum itu, Wazai Creative Solution kembali dengan pendekatan berbeza menerusi konsert Manggung di Muara yang menggabungkan persembahan artis popular Indonesia, penyanyi tempatan serta suasana muzik yang berlatarbelakangkan Sungai Sarawak.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini di Kuching Waterfront Esplanade akan menampilkan Nadhif Basalamah, Ari Lesmana daripada kumpulan Fourtwnty, Aziz Harun dan Aisha Retno.

Lebih menarik, konsert itu turut memberi peluang kepada tiga penggiat seni dari Sarawak, iaitu NAKI, Adruce Azman dan Sasha Ningkan berkongsi pentas dengan barisan artis jemputan yang mempunyai kelompok peminat masingmasing.

Menjelang acara itu, sambutan awal terhadap Manggung di Muara menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 60 peratus tiket sudah terjual, sedangkan konsert berkenaan hanya akan berlangsung beberapa minggu lagi.

Mohammad Afiq Wahed daripada pihak penganjur, Wazai Creative Solution berkata, sambutan yang diterima setakat ini melebihi jangkaan awal pihaknya, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk mencapai sasaran kehadiran 3,000 penonton.

Menurutnya, kapasiti penonton sengaja dihadkan bagi memastikan pengunjung dapat menikmati persembahan dalam suasana lebih selesa, berhampiran pentas dan tidak sesak.

“Alhamdulillah, setakat ini lebih 60 peratus tiket sudah terjual.

Kami memang mengehadkan kapasiti kepada 3,000 orang sahaja kerana mahu semua orang merasai pengalaman konsert, dekat dengan pentas dan tanpa berhimpit.

“Setiap kali kami memuat naik video promosi atau pengumuman artis, jualan terus meningkat.

Jadi, kami yakin jualan tiket akan lebih rancak menjelang minggu-minggu terakhir,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Afiq, perkembangan jualan tiket itu turut didorong oleh pembelian secara berpasangan dan berkumpulan, dengan Kapel Pass menjadi antara kategori yang mendapat sambutan menggalakkan, selain Geng Pass yang ditawarkan kepada kumpulan lima orang.

Sambutan memberangsangkan itu bukan sahaja melibatkan penjualan tiket konsert, malah turut merangkumi pakej penginapan Stay & Manggung yang menggabungkan tiket persembahan dengan penginapan hotel.

Pakej bagi kelompok pertama habis dijual dalam tempoh tujuh hari.

“Malah, pihak hotel menawarkan kelompok kedua bagi memenuhi permintaan yang tinggi ini,” ujarnya.

Permintaan terhadap pakej itu memperlihatkan potensi Manggung di Muara bukan sekadar sebagai acara hiburan, malah turut menawarkan pengalaman yang mendorong peminat merancang perjalanan bersama-sama rakan atau pasangan, termasuk mereka yang datang dari luar Kuching.

Afiq berkata, pihaknya turut menerima pembelian tiket daripada peminat di beberapa bahagian di Sarawak, termasuk Lawas serta dari Semenanjung Malaysia, Brunei dan Sabah.

Jelasnya, setiap artis yang diundang mempunyai kelompok peminat masing-masing, khususnya Nadhif Basalamah dan Ari Lesmana yang dekat dengan pendengar muda menerusi karya mereka.

“Setiap artis yang terlibat mempunyai kelompok peminat tersendiri, khususnya Nadhif Basalamah dan Ari Lesmana.

“Penyanyi yang kita bawa kali ini memang sangat dekat dengan pendengar muda menerusi karya masing-masing, manakala Aziz Harun dan Aisha Retno turut mempunyai pengikut setia,” kongsinya.

Selain menampilkan barisan artis popular itu, Manggung Di Muara turut mempunyai matlamat yang lebih besar, iaitu memperluas peluang untuk mengetengahkan bakat seni Sarawak kepada khalayak yang lebih luas.

Bagi Afiq, Sarawak mempunyai ramai penggiat muzik yang berbakat, namun peluang untuk berkongsi pentas dengan artis ternama di hadapan ribuan penonton, khususnya menerusi konsert berbayar, masih perlu diperluas.

Justeru, pelibatan NAKI, Adruce Azman dan Sasha Ningkan bukan sekadar sebagai pembuka tirai, malah menjadi sebahagian daripada identiti persembahan yang mahu diketengahkan oleh penganjur.

“Bagi kami, mengetengahkan bakat Sarawak memang penting. Peluang untuk berkongsi pentas dengan nama besar di hadapan ribuan orang bukan selalu datang.

“Kalau kita sebagai penganjur tempatan tidak membuka ruang, siapa lagi? “Kami berharap selepas konsert ini, orang bukan sahaja mengingati Nadhif atau Ari, tetapi turut mencari lagu NAKI, Adruce Azman dan Sasha Ningkan di Spotify,” jelasnya.

Usaha itu mencerminkan hasrat penganjur untuk memastikan industri muzik tempatan terus mendapat tempat dalam acara berskala besar, sekali gus memberikan peluang kepada peminat untuk mengenali lebih banyak karya serta identiti muzik yang lahir dari Sarawak.

Dalam hal ini, Manggung Di Muara menggabungkan dua tarikan utama, iaitu persembahan artis yang mempunyai kelompok peminat tersendiri dan peluang untuk memperkenalkan bakat tempatan kepada khalayak yang mungkin belum mengenali karya mereka.

Selain barisan artis, pemilihan Kuching Waterfront Esplanade sebagai lokasi konsert turut menjadi daya tarikan kerana suasana di tepi Sungai Sarawak bakal menjadi latar kepada persembahan muzik pada waktu malam.

Mengulas lanjut, Afiq berkata, pihaknya mahu pengunjung menikmati pengalaman yang lebih menyeluruh, bukan sekadar datang untuk menyaksikan persembahan artis kegemaran masing-masing.

“Kami tidak mahu peminat hanya hadir ketika artis mula membuat persembahan, tetapi kami juga mahu mereka meluangkan masa untuk bersantai dan menikmati suasana di sekitar lokasi.

“Oleh itu, kami bekerjasama dengan Sorong Sorong Market bagi menyediakan ruang makanan dan minuman, sekali gus membolehkan pengunjung menjamu selera serta berehat sementara menunggu konsert bermula.

“Kami mahu orang datang awal, makan-makan di Sorong Sorong Market, bersantai sambil menunggu matahari terbenam di tepi sungai sebelum menikmati konsert,” katanya.

Menurutnya, gabungan persembahan muzik, suasana di tepi sungai dan hembusan angin malam di Kuching diharapkan dapat memberikan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.

“Apabila suara anak Sarawak dan artis jemputan bergabung dalam satu malam, pengalaman itu akan menjadi lebih lengkap,” ujarnya.

Dari segi persiapan, Afiq berkata, segala persiapan berjalan mengikut jadual, termasuk urusan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara bagi penggunaan lokasi berkenaan.

Bagi memastikan kelancaran acara, pihak penganjur turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia untuk membantu menguruskan aspek keselamatan sepanjang konsert berlangsung.

Proses kemasukan penonton pula akan menggunakan kod QR dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut kategori tiket, bermula jam 5.00 petang bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk.

Bagaimanapun, penganjuran konsert di kawasan terbuka pada November turut berdepan dengan cabaran tersendiri, khususnya keadaan cuaca yang tidak menentu dan berpotensi menjejaskan kelancaran persembahan.

Menyedari kemungkinan itu, Afiq berkata, pihaknya sudah menyediakan langkah perlindungan bagi peralatan serta mengutamakan keselamatan pengunjung dan semua pihak yang terlibat sekiranya berlaku cuaca buruk.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan peminat supaya berhati-hati ketika membeli tiket dan hanya mendapatkannya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan risiko penipuan.

“Saya berharap peminat mendapatkan tiket hanya melalui Saratic atau ejen rasmi yang dilantik bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa penipuan penjualan tiket palsu,” tegasnya.

Afiq turut menyifatkan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, penaja serta rakan strategik sebagai faktor penting dalam merealisasikan penganjuran Manggung Di Muara.

Mengimbas kembali kejayaan konsert A Night With Andmesh pada November tahun lalu, kehadiran lebih 4,000 peminat di Stadium Perpaduan menjadi antara pengalaman yang memperlihatkan potensi penganjuran konsert di Kuching.

Sorakan dan nyanyian penonton ketika Andmesh, penyanyi kelahiran Kupang, Nusa Tenggara Timur itu membuat persembahan turut memperlihatkan hubungan erat antara artis dengan peminat yang hadir menikmati persembahannya.

Pengalaman itu menjadi antara faktor yang mendorong Wazai Creative Solution meneruskan penganjuran acara muzik dengan pendekatan berbeza, kali ini menerusi konsep persembahan di kawasan terbuka berlatarbelakangkan Sungai Sarawak.

Afiq berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 3,000 penonton dan yakin semua tiket dapat dijual sebelum hari konsert berdasarkan perkembangan jualan semasa.

“Harapan kami, orang Sarawak datang dan menikmati persembahan serta pulang dengan memori yang indah dengan telefon penuh gambar serta video ketika mereka berseronok di Manggung Di Muara.

“Jika sambutan baik dan kami mendapat sokongan peminat tempatan, insyaAllah kami mahu menjadikan Manggung Di Muara acara berulang di Kuching.

“Kuching layak mempunyai konsert seperti ini dan kami mahu membuktikan penganjur tempatan juga mampu menganjurkan acara seumpamanya,” katanya.

BERITA LAIN

SEKALI MAIN,MAHU LAGI

‘ BAH, pisak pickleball abei itou!’ — pelawaan ringkas yang membawa maksud ‘Jom, main pickleball petang ini!’ pada mulanya mungkin kedengaran biasa, tetapi menjadi lebih

DBKU, BESarawak perluas jaringan antarabangsa

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Business Events Sarawak (BESarawak) bagi memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menyokong pembangunan bandar raya yang

BERITA TERBARU

Lagu SAL PRIADI raih pencalonan

PENYANYI dan penulis lagu Indonesia, Sal Priadi, menarik perhatian apabila lagu tema  lem Monster Pabrik Rambut berjudul Kepala, Pundak, Kerja Lagi menerima pencalonan dalam

SEKALI MAIN,MAHU LAGI

‘ BAH, pisak pickleball abei itou!’ — pelawaan ringkas yang membawa maksud ‘Jom, main pickleball petang ini!’ pada mulanya mungkin kedengaran biasa, tetapi menjadi lebih