DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Business Events Sarawak (BESarawak) bagi memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menyokong pembangunan bandar raya yang progresif dan mampan.
MoU itu ditandatangani Pengerusi DBKU, Ramzi Abdillah dan Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Choo Fin disaksikan Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, Jumaat lalu.
Menerusi kerjasama itu, DBKU berpeluang memanfaatkan jaringan strategik, pengalaman dan kepakaran BESarawak dalam industri acara perniagaan untuk memperluas hubungan pada peringkat antarabangsa.
Kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pertukaran amalan terbaik serta peningkatan peluang kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk golongan profesional, institusi akademik dan penggiat industri.

Selain itu, kerjasama tersebut berpotensi memperkenalkan keunikan warisan, kepelbagaian budaya dan identiti Kuching kepada masyarakat antarabangsa.
Ia juga membuka peluang untuk meneroka pendekatan inovatif dalam pembangunan bandar, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang memeterai MoU dengan BESarawak, DBKU berharap kerjasama itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang memberikan manfaat kepada pembangunan bandar raya dan masyarakat setempat.



