KATA ‘teori’ berasal daripada perkataan Greek kuno, yakni theoria yang bermaksud ‘pemandangan’. Definisi ini membayangkan bahawa sesebuah teori berasaskan konsepsi dan persepsi seseorang yang kemudianya dimikukakan ke dalam bentuk satu pandangan. Oleh yang demikian, sesebuah teori itu bersifat relatif kepada pelbagai pandangan atau pendapat.
Teori kesusasteraan merupakan satu bidang ilmu yang meneliti sifat-sifat yang terdapat dalam teks kesusasteraan. Keberadaan teori kesusasteraan akan dapat membantu memudahkan sesebuah karya dinilai, ditanggapi dan dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Bidang teori memberi pendedahan kepada pengkaji atau peneliti sastera untuk memakusi teks kesusasteraan dengan tujuan untuk memahami apa-apa jua fenomena, baik yang bersifat intrinsik ataupun ekstrinsik.
Rene Wellek dan Austin Warren merupakan dua tokoh terawal yang memberikan interpretasi atau takrif terhadap teori kesusasteraan melalui buku mereka Theory of Literature (1948). Menurut Wellek dan Warren, teori kesusasteraan menjelaskan perkara-perkara seperti konsep, prinsip, kategori dan kriteria sastera.
Hashim Awang menyatakan teori kesusasteraan adalah pengajian tentang prinsip-prinsip kesusasteraan, kategori-kategori, kriteria dan sebagainya, sementara ‘kritikan kesusasteraan’ pula lebih merupakan suatu pengkajian terhadap karya-karya yang konkrit secara persendirian, manakala ‘sejarah kesusasteraan’ ialah pengkajian karya-karya yang konkrit dalam satu urutan masa (1988).
Hal ini menjelaskan bahawa ‘teori kesusasteraan’ itu merangkumi ‘teori kritikan kesusasteraan’ dan sekali gus juga ‘teori sejarah kesusasteraan’. Kaedah-kaedah daripada setiap teori tersebut saling berhubungan dan bahu-membahu.
M.H. Abrams dalam A Glossary of Literature Terms (1971) mentakrifkan kritikan kesusasteraan sebagai “Satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesusasteraan”. Sementara W.H. Thrall dll, dalam A Handbook of Literature (1960) menyatakan kritik kesusasteraan sebagai istilah yang digunakan sejak dari abad ke 17 untuk tujuan menjelaskan, mempertahan, menganalisis atau menilai karya-karya sastera. Mohamad Mokhtar Hassan (2005) pula menyebut teori sastera sebagai upaya untuk melihat anasir-anasir di luar teks sastera seperti dalam lingkungan penulis, masyarakat dan peminat sebagai usaha mencari formula atau paradigma bagi panduan berbicara tentang prinsip-prinsip yang terkait dengan karya sastera.
Secara umum pada keseluruhannya, definisi-definisi yang diberikan oleh para sarjana di Barat dan di Malaysia tersebut menuju kepada aspek yang hampir sama, yakni dapat dirumuskan bahawa teori dan kritikan kesusasteraan merupakan gugusan idea atau konsep yang membentuk suatu tanggapan dan persepsi bagi memahami serta menjelaskan sesuatu fenomena kesusasteraan berasaskan aturan (arkitektonik) ekosistem yang sistematik.
Kritikan kesusasteraan pula merupakan upaya untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan dengan cara yang cukup beralasan, wajar dan bersistematik dengan tujuan untuk mengembangkan sesuatu perkara yang difikirkan balik lagi indah.
Jenis teori kritikan sastera lokal
Dalam hasrat dan usaha untuk mengimbangi kebanjiran teori sastera dari Barat, yang antaranya didapati tidak sesuai dengan budaya, pemikiran, pandangan sarwajagat, etos dan kosmologi masyarakat tempatan, maka telah lahir sejumlah teori kritikan sastera tempatan.
Antaranya ialah Teori Putitika Sastera Melayu (SN Muhammad Haji Salleh), Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teori Simbolisme Islam (SN Kemala), Teori Teksdealisme (SN Mana Sikana), Teori Konseptual Kata Kunci (Mohamad Mokhtar Hassan), Teori SPB4L (Mohd. Yusof Hassan), Teori Gagasan Persuratan Baru (Mohd Affandi Hassan), Teori Rasa-Fenomenologi (Suhaimi Abdul Aziz), Teori Hermeneutik Melayu-Islam (Md. Salleh Yaapar), Teori Estetika Bersepadu (Abdul Halim Ali), dan Teori Rasa Insaniah (Shamsuddin Othman).
Fungsi teori kritikan sastera lokal
Menurut Hashim Awang (1988:5), kritikan kesusasteraan mempunyai sekurang-kurangnya sembilan fungsi, yakni:
1. Mendapat pengetahuan dan menyebarkannya.
2. Menolong pembaca lain menghayati karya-karya kesusasteraan, yakni menerangkan tentang karya sastera dan pengarang yang dikritik tersebut dengan sejelas mungkin.
3. Menolong membezakan mana karya yang baik dan karya yang tidak baik.
4. Menolong pengarang dalam upaya mendidik masyarakat.
5. Memberi keterangan kepada pengarang bagaimana cara menyesuaikan diri sendiri dengan pembaca.
6. Memberi perangsang, dorongan dan mendidik masyarakat supaya lebih gigih membaca.
7. Menolong menghapuskan sebarang prasangka buruk terhadap kesusasteraan.
8. Memperkenal buku-buku baharu kepada khalayak yang tidak sempat membacanya.
9. Membaiki salah fahaman di antara pengarang (pencipta) dan pembaca (peminat).
Perkembangan teori kritikan sastera lokal
Kemunculan dan perkembangan teori kesusasteraan lokal yang dijana oleh para sarjana dan peneliti atau pengkaji sastera tempatan pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an, melakar wajah baharu pada jalar perkembangan kesusasteraan tanah air.



