ARTIKEL

Gambar Hiasan

Akses kaunseling perlu diperkukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM era globalisasi yang menuntut segala-galanya bergerak pantas, landskap kehidupan masyarakat Malaysia diwarnai pelbagai cabaran sosioekonomi yang semakin rumit.

Di sebalik pembangunan infrastruktur fizikal, kemajuan bandar terancang dan pertumbuhan ekonomi yang pesat, terserah satu realiti yang kurang diberikan perhatian, iaitu tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat yang semakin teruji.

Profesion kaunseling hari ini tidak lagi boleh dipandang sekadar sebagai kerjaya sokongan, sebaliknya menjadi tujang penting dalam memastikan kestabilan psikososial rakyat.

Namun begitu, persoalan utama yang wajar dikupas oleh pembuat dasar, penggiat industri dan masyarakat ialah sejauh manakah kapasiti perkhidmatan kaunseling di negara ini benar-benar mencukupi, mudah diakses dan mampu menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah?

Berdasarkan unjuran rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk Malaysia pada 2026 dianggarkan mencecah 34.4 juta orang. Pada masa sama, rekod dalam Direktori Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) menunjukkan terdapat seramai 13,383 kaunselor berdaftar.

Berdasarkan angka tersebut, nisbah yang terhasil ialah kira-kira seorang kaunselor berdaftar bagi setiap 2,570 penduduk. Bagaimanapun, angka ini tidak wajar ditafsirkan secara harfiah seolah-olah setiap kaunselor perlu memberikan perkhidmatan secara langsung kepada seramai 2,570 individu.

Realitinya, tenaga kerja kaunseling negara tersebar merentasi pelbagai sektor strategik, termasuk institusi pendidikan dan sekolah, fasiliti kesihatan awam, perkhidmatan awam, agensi kerajaan, badan korporat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan amalan persendirian.

Rekod Parlimen pada Ogos 2025 yang mencatatkan nisbah seorang kaunselor bagi setiap 2,718 penduduk, berdasarkan jumlah 12,583 kaunselor dan 34.3 juta penduduk, menunjukkan bilangan kaunselor berdaftar meningkat. Namun begitu, usaha memperkukuh tenaga kerja dalam bidang ini perlu diteruskan agar perkembangan perkhidmatan kaunseling seiring dengan perubahan dan peningkatan keperluan masyarakat moden.

Realiti cabaran ini menjadi lebih unik dan kritikal apabila dilihat dalam konteks geografi serta demografi negeri seperti Sarawak. Dengan jumlah penduduk sekitar 2.5 juta orang pada 2026 dan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 0.4 peratus, Sarawak berdepan cabaran akses yang memerlukan pendekatan tersendiri.

Jika nisbah nasional digunakan sebagai panduan perbandingan, anggaran kasar menunjukkan negeri ini memerlukan kira-kira 988 kaunselor. Bagaimanapun, isu utama di Bumi Kenyalang bukan sekadar berkatian dengan angka, sebaliknya melibatkan keluasan geografi, jarak jauh antara bandar utama dengan kawasan luar bandar, kos perjalanan serta keterbatasan akses fizikal bagi komuniti di kawasan pedalaman.

Persoalan kritikal yang perlu dijawab bersama ialah: Di manakah kaunselor ditempatkan, kelompok masyarakat manakah yang dapat mereka jangkau dan sejauh manakah penduduk di kawasan pinggiran mendapat akses kepada perkhidmatan sokongan psikologi apabila benar-benar memerlukannya?

Di samping isu akses dan taburan penduduk, satu halangan dari segi mentaliti yang masih melebar dalam kalangan sebahagian masyarakat ialah tanggapan lapuk bahawa perkhidmatan kaunseling hanya relevan bagi individu yang mengalami gangguan mental kronik atau krisis emosi yang serius.

Tanggapan ini kurang tepat kerana skop perkhidmatan kaunseling sebenarnya jauh lebih luas, menyeluruh dan bersifat proaktif. Bidang intervensi profesional dalam kaunseling merangkumi pencegahan awal, pengurusan tekanan harian, penyelesaian konflik keluarga dan rumah tangga, keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan berkeluarga, penyesuaian diri, bimbingan kerjaya dan akademik serta pembinaan daya tahan psikologi.

Kaunselor berperanan sebagai pemangkin kesejahteraan sosial yang membantu pelbagai kelompok masyarakat, daripada kanak-kanak dan remaja yang sedang mencari identiti diri, golongan dewasa yang berdepan cabaran kerjaya hinggalah warga emas. Peranan mereka bukan sekadar membantu individu menangani masalah selepas krisis muncul, malah turut merangkumi usaha pencegahan dan bimbingan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Tekanan kehidupan masa kini turut menimbulkan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian segera. Peningkatan kos sara hidup, bebanan tugas di tempat kerja, kepesatan transformasi teknologi digital serta keretakan hubungan dalam keluarga moden boleh mencetuskan keletihan emosi (burnout) dan konflik interpersonal yang menjejaskan kesejahteraan diri.

Petunjuk tentang keperluan masyarakat terhadap sokongan emosi dapat dilihat melalui data rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaporkan Talian HEAL 15555 menerima sebanyak 76,571 panggilan secara kumulatif sejak mula beroperasi pada Oktober 2022 hingga penghujung 2024.

Walaupun tidak semua panggilan tersebut memerlukan intervensi kaunseling klinikal yang mendalam, jumlah itu menunjukkan keperluan terhadap ruang untuk meluahkan perasaan, mendapatkan bimbingan emosi dan menerima sokongan psikososial merupakan perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Justeru, negara memerlukan anjakan paradigma yang menyeluruh daripada model rawatan reaktif kepada pendekatan pencegahan proaktif.

Bagi merealisasikan matlamat ini pada peringkat nasional, khususnya dalam mendepani realiti di Sarawak, pelan tindakan strategik perlu dirangka secara komprehensif.

Langkah ini termasuklah usaha berterusan untuk menambah bilangan kaunselor serta menyusun semula penempatan mereka agar lebih seimbang antara kawasan bandar dengan luar bandar, memperkukuh perkhidmatan kaunseling komuniti dan institusi pendidikan di peringkat akar umbi, membudayakan kesejahteraan dalam organisasi di tempat kerja serta memanfaatkan teknologi telekaunseling secara beretika, selamat dan terkawal.

Di samping itu, kerjasama antara disiplin yang menggabungkan kepakaran kaunselor, pegawai psikologi, doktor perubatan, pakar psikiatri dan pekerja sosial perlu diperkukuh bagi memastikan setiap individu menerima intervensi yang tepat, menyeluruh dan berkesan.

Bagi memperluas akses kepada perkhidmatan kaunseling, kesejahteraan kaunselor sendiri tidak boleh diketepikan. Ketidakseimbangan antara jumlah penduduk dengan taburan kaunselor di sesetengah kawasan berpotensi meningkatkan beban tugas, jumlah klien, tuntutan dokumentasi, kerumitan pengurusan kes serta tanggungjawab pentadbiran. Keadaan ini akhirnya boleh menyumbang kepada tekanan kerja dan keletihan melampau dalam kalangan kaunselor.

Justeru, usaha memperkukuh perkhidmatan kaunseling mestilah seiring dengan usaha menjaga kesejahteraan kaunselor melalui pengagihan beban kerja yang munasabah, penambahan tenaga profesional, sokongan penyeliaan, ruang untuk pemulihan psikologi, pembangunan profesional berterusan serta sistem sokongan organisasi yang kukuh.

Kita tidak boleh mengharapkan kaunselor terus menjadi tempat masyarakat bersandar sekiranya mereka sendiri tidak diberikan ruang untuk berehat dan sokongan yang sewajarnya.

Semenjana Bulan Kaunseling Kebangsaan, marilah kita bukan sahaja menghargai peranan kaunselor dalam membantu individu, keluarga, organisasi dan komuniti, tetapi juga mengiktiraf pengorbanan, komitmen serta cabaran yang mereka hadapi dalam melaksanakan amanah profesional.

Selamat menyambut Bulan Kaunseling Kebangsaan kepada seluruh warga kaunselor di Malaysia. Teruslah menjadi pendengar yang memberikan harapan. Namun, pada masa sama, pastikan insan yang sentiasa mendengar suara orang lain juga didengar, dihargai dan dijaga.

Penulis ialah Pensyarah Kaunseling, UNIMAS.

BERITA LAIN

Konsep teori, kritikan kesusasteraan tempatan

KATA ‘teori’ berasal daripada perkataan Greek kuno, yakni theoria yang bermaksud ‘pemandangan’. Definisi ini membayangkan bahawa sesebuah teori berasaskan konsepsi dan persepsi seseorang yang kemudianya

Syahrini kembali dengan jiwa baharu

ENAM tahun meninggalkan pentas hiburan bukanlah tempoh yang singkat, apatah lagi bagi seorang penyanyi yang pernah menjadikan muzik sebagai sebahagian besar daripada kehidupannya. Namun, bagi

BERITA TERBARU

Usir 25,000 orang ke negara ketiga

NAIROBI: Menurut satu siasatan yang diterbitkan pada September lalu, Amerika Syarikat (AS) telah mengusir lebih daripada 25,000 orang di bawah perjanjian sulit dengan 35 negara

Tingkatkan pendapatan rakyat Sarawak

KUCHING: Status Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah supaya kemajuan ekonomi yang dicapai turut membawa perubahan nyata kepada kehidupan