ARTIKEL

ENAM graduan menerima Anugerah Eksekutif sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam aspek kemahiran, disiplin, kepimpinan dan pembentukan jati diri.

TVET angkat potensi anak Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka laluan kepada kerja berpendapatan tinggi.

Hal ini dibuktikan melalui kejayaan seorang graduan GIATMARA Sarawak yang memenuhi pasaran pekerjaan antarabangsa dengan pendapatan mencecah RM16,000 sebulan.

Lepasan kursus Teknologi Kimpalan dari GIATMARA Santubong, Selani Mahadi, kini bekerja sebagai jurukimpal profesional di Sepanyol.

Kejayaan berkenaan membuktikan pendidikan berasaskan kemahiran bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan kepada kerja berpotensi tinggi yang mampu meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada anak tempatan.

Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Meor Mohd Khairy Meor Abdullah Zawawi berkata, pencapaian lepasan berkenaan mencerminkan keupayaan anak Sarawak untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata, GIATMARA terus memainkan peranan penting melahirkan tenaga kerja mahir kompeten, berdisiplin dan mempunyai daya tahan bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

“Latihan kemahiran bukan lagi pilihan kedua, tetapi merupakan laluan utama kepada kerjaya yang stabil, berpendapatan tinggi dan berdaya saing,” katanya pada Majlis Graduasi GIATMARA Malaysia Ke-39 Sidang 9 bagi Negeri Sarawak di Wisma Melayu baru-baru ini.

Menurutnya, seramai 928 pelatih GIATMARA Sarawak berjaya menamatkan latihan pada 2025 dan layak menerima sijil. Daripada jumlah itu, seramai 404 graduan menghadiri majlis graduasi kali ini.

Lebih membanggakan, enam graduan turut menerima Anugerah Eksekutif sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka bukan sahaja dalam aspek kemahiran, malah dalam aspek disiplin, kepimpinan dan pembentukan jati diri.

Meor Mohd Khairy berkata, pencapaian GIATMARA Sarawak turut terserlah menerusi kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.8 peratus pada 2025, sekali gus mencerminkan keberkesanan latihan kemahiran dalam menyediakan pelatih untuk menceburi bidang pekerjaan atau keusahawanan, atau meneruskan latihan ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kejayaan itu perlu dipertahankan menerusi usaha berterusan untuk memperkukuh kualiti latihan serta memastikan kemahiran yang ditawarkan kekal relevan dengan kehendak industri.

Dalam pertandingan kemahiran, peserta GIATMARA Sarawak turut mencatat pencapaian yang membanggakan pada Pertandingan WorldSkills Malaysia Sarawak 2025 apabila meraih dua pingat emas, empat pingat perak, satu pingat gangsa dan tujuh Medallion of Excellence.

Susulan pencapaian itu, empat peserta GIATMARA Sarawak berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia 2026 dalam bidang Teknologi Automotif, Pendandaran Rambut, Pengecatan dan Hiasan serta Fesyen dan Teknologi.

Peserta terbabit mewakili GIATMARA Miri, Petra Jaya, Saratok dan Kanowit.

Sementara itu, kerjasama strategik GIATMARA dengan rakan industri, termasuk Modenas, turut membuka ruang kepada pelatih untuk menguasai teknologi masa depan, khususnya dalam bidang penyelenggaraan motosikal elektrik di GIATMARA Kota Samarahan.

Menurutnya, hasil kerjasama itu, lima pelatih dari GIATMARA berkenaan menerima tawaran pekerjaan dengan gaji premium, sekali gus memperlihatkan kepentingan hubungan erat antara institusi latihan dengan industri dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Selain mencipta kejayaan dalam kerjaya profesional, graduan GIATMARA Sarawak turut membuktikan kemampuan mereka menjana pendapatan melalui keusahawanan.

Mereka ialah Faizul Nizan Let dari GIATMARA Mukah yang mengusahakan syarikat pembinaan Hamizan Aff Group Sdn. Bhd.

Syarikat itu menyediakan peluang pekerjaan kepada 30 pekerja tempatan dan merekodkan pendapatan tahunan RM16.8 juta pada 2025.

Seorang lagi graduan, Sulaiman Ibrahim dari GIATMARA Bandar Kuching, berjaya membangunkan perniagaan bengkel dan pusat servis kereta yang dimulakan dengan modal RM10,000.

SEORANG graduan menerima sijil ditemani ibu bapanya sempena Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Ke-39 Sidang 9 bagi Negeri Sarawak.

Perniagaan itu mencatatkan pendapatan sehingga RM1.8 juta pada 2025 dan menggaji 11 pekerja.

Sementara itu, Ismail Hamizan Safri dari GIATMARA Stampin membangunkan perniagaan kafe dan restoran sehingga mencatatkan jualan melebihi RM600,000 pada 2025 serta menggaji 14 pekerja.

Menurut Meor Mohd Khairy, kejayaan graduan berkenaan membuktikan bahawa lepasan TVET berupaya menjadi pewujud peluang pekerjaan, penggerak ekonomi dan penyumbang kepada pembangunan negeri.

Beliau berkata, kejayaan itu turut didorong komitmen tenaga pengajar, sokongan keluarga serta sistem latihan yang sentiasa disesuaikan dengan keperluan semasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan supaya tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus meningkatkan kemahiran, memperkukuh nilai diri dan berani merebut peluang dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Beliau berharap lepasan GIATMARA Sarawak terus mengharumkan nama keluarga, GIATMARA dan MARA, selain muncul sebagai tenaga mahir, usahawan yang berjaya serta pemimpin masa depan yang menyumbang kepada kemajuan negara.

GIATMARA terus memainkan peranan penting melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten, berdisiplin dan mempunyai daya tahan bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

BERITA LAIN

Konsep teori, kritikan kesusasteraan tempatan

KATA ‘teori’ berasal daripada perkataan Greek kuno, yakni theoria yang bermaksud ‘pemandangan’. Definisi ini membayangkan bahawa sesebuah teori berasaskan konsepsi dan persepsi seseorang yang kemudianya

Akses kaunseling perlu diperkukuh

DALAM era globalisasi yang menuntut segala-galanya bergerak pantas, landskap kehidupan masyarakat Malaysia diwarnai pelbagai cabaran sosioekonomi yang semakin rumit. Di sebalik pembangunan infrastruktur fizikal, kemajuan

BERITA TERBARU

Rifdean mohon maaf, akui gagal kawal emosi

KUCHING: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Rifdean Masdor memohon maaf secara terbuka selepas mengakui gagal mengawal emosi ketika mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi persiapannya menentang juara