ARTIKEL

Usahawan Perlu Bijak Urus Pembiayaan, Manfaat Peluang Belanjawan 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ALOR SETAR: Peruntukan pembiayaan mikro sebanyak RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2027 membuka peluang keemasan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memperkukuh modal pusingan serta meluaskan skala perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Sumbangan sektor itu yang mencecah 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 membuktikan PMKS kekal sebagai enjin penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Pensyarah Pengurusan Strategik, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Darwina Ahmad Arshad berkata usahawan perlu bijak menguruskan pembiayaan yang diterima bagi memastikan modal dimanfaatkan secara optimum untuk meningkatkan produktiviti dan capaian pasaran.

Katanya kemudahan pembiayaan menerusi agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) wajar dimanfaatkan untuk modal permulaan, menaik taraf kapasiti operasi atau inovasi produk baharu tertakluk kepada skim dan syarat yang ditawarkan.

“Bagaimanapun, pemilihan skim pembiayaan perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar dan kemampuan perniagaan masing-masing, selain mengambil kira komitmen pembayaran balik serta potensi pulangan daripada penggunaan modal berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Darwina berkata pembiayaan melalui agensi tertentu juga menawarkan mekanisme pemantauan dan bimbingan yang dapat membantu usahawan meningkatkan disiplin kewangan, memperkemas pengurusan perniagaan serta merancang strategi pertumbuhan dengan lebih teratur.

“Sebagai contoh, seorang usahawan di Kedah yang menghasilkan gulai daging batang pisang dalam bentuk makanan sedia dimakan (ready-to-eat) boleh menggunakan pembiayaan TEKUN untuk membeli mesin bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 200 kepada 1,000 pek sehari.

“Namun, peningkatan kapasiti itu perlu disusuli perancangan pemasaran yang bersesuaian. Keupayaan menghasilkan lebih banyak produk tidak semestinya menjamin peningkatan jualan jika permintaan pasaran belum mencukupi atau saluran pengedaran masih terhad,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata teknologi mesin berkenaan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti, mengekalkan konsistensi rasa dan kualiti serta mempercepat proses pengeluaran di samping memperluas pasaran daripada peringkat tempatan ke luar Kedah menerusi kerjasama pengedaran dan platform digital.

Usahawan juga, katanya perlu menonjolkan nilai keunikan produk (unique selling point) seperti keaslian resipi warisan, ketahanan pembungkusan dan kemudahan hidangan sedia dimakan bagi membezakan produk mereka daripada pesaing pasaran.

“Peruntukan RM6.6 bilion itu perlu dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan daripada sekadar menjalankan perniagaan secara rutin kepada usaha meneroka pasaran baharu, menghasilkan produk inovatif dan membina perniagaan yang berdaya tahan,” katanya.

Bagi peniaga makanan, Nur Zaila Abd Nasir, 43, skim pembiayaan daripada AIM diibaratkan sebagai ‘talian hayat’ yang membolehkan peniaga kecil sepertinya mengekalkan pusingan modal dan memperkembangkan perniagaan.

Nur Zaila berkata AIM merupakan pinjaman mudah yang fleksibel dan tempoh pembayaran balik pula boleh dipilih mengikut kemampuan selagi mana ia tidak membebankan peminjam.

“Bermula dengan modal kecil sehingga mampu menambah pinjaman mengikut perkembangan perniagaan dan kemampuan bayaran balik, skim AIM ini amat membantu dan langkah kerajaan menaikkan peruntukan ini sememangnya tepat pada masanya bagi peniaga kecil seperti kami,” katanya yang berniaga di sekitar Jitra sejak 10 tahun lepas.

Seorang peniaga pastri dan kuih, Shahni Farhana Mat Sahir, 40, pula berkata pinjaman AIM sangat memberi manfaat kepada suri rumah sepertinya ketika mahu memulakan perniagaan, dan kini dirinya sudah mampu meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah walaupun sudah tidak menjadi peminjam AIM.

“Jumlah pinjaman walaupun tidak terlalu besar, ia sebenarnya mampu dimanfaatkan jika kita bijak membuat percaturan terutama bagi peniaga kecil yang tidak memerlukan modal yang besar,” katanya yang hanya berniaga dari rumahnya di sini. – BERNAMA – Oleh Shuhaida Mohd Said

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rifdean mohon maaf, akui gagal kawal emosi

KUCHING: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Rifdean Masdor memohon maaf secara terbuka selepas mengakui gagal mengawal emosi ketika mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi persiapannya menentang juara

634 peserta meriahkan Balingian Fun Walk 202

BINTULU: Seramai 634 peserta menyertai Balingian Fun Walk 2026 sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Kecil Balingian di Tapak Bederun, hari ini, sekali gus