CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan susulan aduan berhubung kandungan yang dimuat naik di platform media sosial Threads dan disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, kandungan berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, MCMC merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan.
Turut disita bagi membantu siasatan ialah sebuah telefon bimbit berserta eSIM untuk tujuan analisis forensik.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Menurut MCMC, pihaknya turut meneliti aspek penyebaran kandungan tersebut melalui platform media sosial.
“MCMC akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan di bawah undang-undang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut menegaskan pendiriannya berhubung penggunaan media sosial.
“MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu lagi.



