ARTIKEL

Abang Johari pada sidang media sempena Program Pengawasan Penyakit SIDC dan pelancaran rasmi makmal bergerak di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, Gedong, hari ini. | FOTO: RAMIDI SUBARI

Sarawak tolak perkhidmatan kesihatan ’embat-embat buta’

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEDONG: Sarawak tidak mahu rakyatnya menerima perkhidmatan kesihatan secara “embat-embat buta” yang akhirnya gagal memenuhi keperluan sebenar rakyat di akar umbi negeri ini.

Merujuk perkataan “embat-embat buta” yang membawa maksud melakukan sesuatu secara membabi buta, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada rakyat menepati keperluan sebenar, terutama masyarakat di pedalaman.

“Sebab itu, Sarawak menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan melaksanakan Program Pengawasan Penyakit (DSP) di negeri ini.

“Program ini membolehkan kita memperoleh data sebenar. Pembangunan dan perkhidmatan kesihatan mesti selari dengan keadaan kesihatan di setiap kawasan.

Abang Johari merasmikan pelancaran makmal bergerak SIDC sempena Program Pengawasan Penyakit Berjangkit di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, Gedong, hari ini. | FOTO: RAMIDI SUBARI

“Kita perlu sediakan fakta kepada (kerajaan persekutuan) dengan data yang nyata. Jangan main embat-embat buta,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Program Pengawasan Penyakit SIDC dan pelancaran rasmi makmal bergerak di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, program itu juga akan diperluas ke Kuching dan Serian bagi mengenal pasti trend penyakit setempat serta memastikan intervensi kesihatan dirancang berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.

Katanya lagi, program itu membolehkan kerajaan memperoleh data kesihatan dari setiap kawasan untuk menentukan langkah pencegahan dan rawatan yang lebih bersasar.

“Program ini menggunakan makmal bergerak untuk mengumpul sampel dan menilai keadaan kesihatan penduduk, termasuk di Kampung Gedong dan kawasan Lubok Buntin.

“Pendekatan berasaskan data penting bagi mengelakkan pelaksanaan inisiatif kesihatan tanpa maklumat mencukupi mengenai masalah yang dihadapi masyarakat setempat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu penemuan awal di beberapa kawasan menunjukkan kemungkinan jangkitan cacing yang boleh dikaitkan dengan pendedahan kepada tanah tercemar, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan individu yang tidak memakai kasut ketika bermain atau melakukan aktiviti di kebun.

Jangkitan itu, katanya, boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan, termasuk malnutrisi, jika tidak dirawat.

Oleh itu, hasil pengawasan dapat membantu petugas kesihatan mencadangkan rawatan bersesuaian serta meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan dan langkah pencegahan.

Menurutnya lagi, program berkenaan turut membantu mengenal pasti risiko penyakit bawaan air dan menilai keperluan menambah baik kaedah rawatan serta pengendalian air di rumah.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, penyakit berkaitan air dilaporkan semakin berkurangan berdasarkan data yang ada, antara lain susulan penyediaan bekalan air paip bersih.

Mengenai SIDC, Abang Johari berkata ia ialah pusat penyelidikan yang dibiayai kerajaan negeri dan dilengkapi kemudahan makmal serta makmal bergerak bagi menyokong pengawasan penyakit di pelbagai kawasan di Sarawak.

“Data yang diperoleh menerusi program ini akan membantu kerajaan mengenal pasti keperluan kesihatan setiap komuniti dan merancang intervensi yang lebih tepat, termasuk di kawasan pedalaman,” ujarnya.

BERITA LAIN

Kertas kuning bukan jaminan projek diluluskan

PAKAN: Semua Tuai Rumah digesa lebih proaktif memastikan kertas kerja permohonan projek pembangunan komuniti disediakan dengan lengkap dan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan

BERITA TERBARU

Kertas kuning bukan jaminan projek diluluskan

PAKAN: Semua Tuai Rumah digesa lebih proaktif memastikan kertas kerja permohonan projek pembangunan komuniti disediakan dengan lengkap dan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan