ARTIKEL

Abang Johari bercakap pada sidang media sempena Program Pengawasan Penyakit SIDC dan pelancaran Makmal Bergerak di Gedong, hari ini. | FOTO: RAMIDI SUBARI

Sarawak teroka biodiversiti bagi bangunkan ubat tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEDONG: Sarawak meneroka potensi biodiversiti negeri ini untuk membangunkan ubat tempatan, dengan penyelidikan berasaskan data kesihatan setempat menjadi asas bagi mengenal pasti penyakit dan menentukan rawatan yang sesuai dengan keperluan masyarakat.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penyelidikan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) menerusi Program Pengawasan Penyakit (DSP) membolehkan kerajaan mengenal pasti trend penyakit mengikut kawasan sebelum merangka langkah pencegahan dan rawatan yang lebih bersasar.

Menurutnya, hasil penyelidikan itu juga berpotensi membuka ruang kepada pembangunan ubat tempatan menggunakan sumber biodiversiti Sarawak.

“Penyelidikan yang kita jalankan menunjukkan bahawa penyakit di Kapit berbeza dengan di Sri Aman.

Screenshot

“Kita perlu mengenal pasti trend ini dan berkemungkinan menghasilkan ubat-ubatan tempatan daripada sumber biodiversiti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pengawasan Penyakit SIDC dan pelancaran Makmal Bergerak di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari menjelaskan program berkenaan turut membantu mengenal pasti masalah kesihatan khusus di sesebuah kawasan, sekali gus membolehkan intervensi dirancang berdasarkan keadaan sebenar penduduk dan bukannya andaian.

Tambahnya, pendekatan Kesihatan Menyeluruh atau “One Health” yang menghubungkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar turut diterapkan bagi memperkukuh pencegahan penyakit selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebersihan dan penjagaan kesihatan.

Sebagai contoh, beliau berkata jangkitan cacing dalam kalangan kanak-kanak yang tidak memakai kasut ketika bermain atau melakukan aktiviti di kebun boleh menjejaskan pemakanan dan menyebabkan malnutrisi jika tidak dikawal.

Menurutnya, data pengawasan juga penting untuk mengenal pasti risiko kesihatan yang berkaitan dengan kebersihan makanan dan air, sekali gus membantu kerajaan menentukan langkah pencegahan yang sesuai.

Abang Johari berkata penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung menunjukkan trend peningkatan, manakala pengesanan kanser pada peringkat lewat turut menjadi kebimbangan.

Beliau memberikan contoh diabetes yang semakin membimbangkan di Sarikei, dengan ramai pesakit hanya mengetahui keadaan mereka apabila penyakit sudah berada pada tahap serius, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan dialisis.

Katanya, masalah kesihatan berbeza mengikut kawasan, termasuk obesiti di Sibu, justeru dasar kesihatan perlu mengambil kira pola penyakit dan keperluan khusus masyarakat setempat.

“Dasar kesihatan mesti berdasarkan keadaan sebenar di setiap kawasan supaya kita dapat mengemukakan penemuan kepada Kerajaan Persekutuan. Kita memerlukan fakta dan bukti konkrit, bukan membuat andaian tanpa data,” jelasnya.

Kata Abang Johari, Sarawak mahu diberikan autonomi lebih luas untuk menjalankan penyelidikan kesihatan sendiri bagi membolehkan negeri ini mengemukakan bukti kukuh dalam menyokong keperluan serta cadangan dasar kesihatan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Program pengawasan ini akan diperluas ke seluruh Sarawak, khususnya kawasan pedalaman, dengan kerjasama pemimpin masyarakat, SIDC, Pejabat Daerah Gedong dan Jabatan Kesihatan Bahagian Samarahan,” ujarnya lagi.

BERITA LAIN

SIDC perluas pengawasan penyakit ke Kapit, Ulu Gedong

GEDONG: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) merancang memperluaskan program pengawasan penyakit ke Kapit dan Zon Ulu Gedong bagi melengkapkan liputan pemantauan kesihatan di Daerah Gedong.

Sharifah Nong-Jasima bangkit genggam ijazah

PERJALANAN menuntut ilmu yang bermula pada 2018 akhirnya membawa Sharifah Nong-Jasima Syed Junaidi ke pentas konvokesyen lapan tahun kemudian, namun di sebalik kegembiraan menggenggam sulung

BERITA TERBARU

SIDC perluas pengawasan penyakit ke Kapit, Ulu Gedong

GEDONG: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) merancang memperluaskan program pengawasan penyakit ke Kapit dan Zon Ulu Gedong bagi melengkapkan liputan pemantauan kesihatan di Daerah Gedong.