GEDONG: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) merancang memperluaskan program pengawasan penyakit ke Kapit dan Zon Ulu Gedong bagi melengkapkan liputan pemantauan kesihatan di Daerah Gedong.
Ketua Pegawai Eksekutif SIDC Profesor Dr Ivan Yap berkata pelaksanaan program di Ulu Gedong masih bergantung kepada perbincangan lanjut dengan Jabatan Premier Sarawak.

“Kita telah melaksanakan program seumpama ini di lapan lokasi di sekitar Bau, Kuching, Serian, Sri Aman dan Gedong. Bagi Gedong, SIDC telah meliputi Zon Gedong Proper yang merangkumi 11 kampung, manakala program di Zon Pangkor yang melibatkan 17 kampung sedang dilaksanakan.
“Perluasan ke Zon Ulu Gedong yang merangkumi 27 kampung diharap dapat melengkapkan liputan program pengawasan penyakit di seluruh Daerah Gedong, namun ini akan kita bincangkan lanjut dengan Jabatan Premier Sarawak.
“Setakat ini, SIDC telah mengumpul data daripada lebih 1,000 peserta, manakala 120 orang menyertai saringan yang dijalankan di sini bermula Sabtu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas menghadiri Program Pengawasan Penyakit Berjangkit SIDC dan pelancaran rasmi makmal bergerak yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut program pengawasan itu, beliau memberitahu ia memberi tumpuan kepada pelbagai penyakit berjangkit, termasuk denggi, malaria, tuberkulosis (tibi), penyakit cacing, filariasis dan rabies.
Menurut Dr Ivan, data yang dikumpul akan dianalisis bagi mengenal pasti trend penyakit serta memantau sama ada penularannya meningkat atau terkawal.
Jelasnya lagi, SIDC turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya dalam perkongsian data serta penyelarasan maklumat berkaitan penyakit berjangkit.
“Selain melengkapkan liputan di Daerah Gedong, perluasan program ke Kapit dijangka membantu memperluas usaha pengawasan penyakit dan pengumpulan data bagi menyokong langkah pencegahan serta kawalan penyakit berjangkit di Sarawak,” ujarnya.



