ARTIKEL

Kertas kuning bukan jaminan projek diluluskan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Semua Tuai Rumah digesa lebih proaktif memastikan kertas kerja permohonan projek pembangunan komuniti disediakan dengan lengkap dan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan permohonan ditolak atau projek tidak dapat dilaksanakan.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata kertas kerja yang lengkap ialah dokumen penting dalam proses mendapatkan kelulusan projek, selain memastikan setiap permohonan dapat diproses dengan teratur mengikut peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, kegagalan menyediakan dokumen berkaitan dengan betul atau mengemukakan maklumat yang tidak lengkap boleh menyebabkan sesuatu projek dibatalkan walaupun pemohon sudah menerima ‘kertas kuning’ yang menjadi simbol kelulusan atau peruntukan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program di Rumah Lembang, Nanga Segera, Pakan, pada Jumaat lepas.

Larry menjelaskan masih terdapat pihak yang kurang memahami proses permohonan projek, termasuk beranggapan penerimaan kertas kuning bermakna sesuatu projek boleh terus dilaksanakan tanpa memastikan semua dokumen berkaitan lengkap.

Sehubungan itu, beliau menegaskan penyediaan kertas kerja yang sempurna perlu diberi perhatian utama bagi memudahkan proses permohonan, kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan sesuatu projek direalisasikan tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya kepada wakil rakyat jika pihak pemohon sendiri tidak memahami status permohonan atau gagal melengkapkan dokumen yang diperlukan.

Justeru, semua Tuai Rumah diminta memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing komuniti masing-masing, khususnya memastikan setiap permohonan projek disediakan dengan maklumat yang tepat dan dikemukakan mengikut prosedur ditetapkan.

Dalam program yang sama, Larry turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM33,000 kepada tujuh penerima bagi membantu memenuhi keperluan serta menyokong aktiviti dan pembangunan komuniti setempat.

Penerima peruntukan itu membabitkan Rumah Lembang Nanga Segera, Biro Wanita Rumah Lembang Nanga Segera, Biro Wanita Rumah Jonathan Beluru, Gereja Hosana Nanga Kara, Gereja BEM Imanuel Sungai Bangkit serta Gereja Katolik (RC) Nanga Segera yang turut dikenali sebagai Sungai KawiK.

Peruntukan itu diharap dapat membantu penerima melaksanakan aktiviti yang dirancang serta memenuhi keperluan komuniti masing-masing.

Penekanan terhadap penyediaan kertas kerja yang lengkap dan penyaluran bantuan kepada komuniti mencerminkan kepentingan kerjasama antara wakil rakyat, Tuai Rumah dan masyarakat bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.

BERITA LAIN

SIDC perluas pengawasan penyakit ke Kapit, Ulu Gedong

GEDONG: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) merancang memperluaskan program pengawasan penyakit ke Kapit dan Zon Ulu Gedong bagi melengkapkan liputan pemantauan kesihatan di Daerah Gedong.

BERITA TERBARU

SIDC perluas pengawasan penyakit ke Kapit, Ulu Gedong

GEDONG: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) merancang memperluaskan program pengawasan penyakit ke Kapit dan Zon Ulu Gedong bagi melengkapkan liputan pemantauan kesihatan di Daerah Gedong.