KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan berlaku perhimpunan warga Bangladesh di Bukit Bintang kerana rakaman yang tular di media sosial didapati telah disunting menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Bernama, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menjelaskan bahawa semakan mendapati video asal itu sebenarnya rakaman sambutan tahun baharu 2022 di Bukit Bintang.
Beliau menyatakan video lama tersebut berlatarkan Bangunan Yayasan Selangor ketika masih usang, manakala isu yang dilaungkan di dalamnya berkaitan Commilla di Bangladesh pada 2022.
Selain itu, Fadil mengesahkan tiada perhimpunan yang melibatkan warganegara Bangladesh atau mana-mana pihak direkodkan di sekitar Bukit Bintang dari Januari hingga hari ini.
Susulan itu, rakaman yang tular sejak beberapa hari lalu dan mendakwa sekumpulan warga Bangladesh berhimpun di ibu negara untuk menuntut wilayah Comilla ditadbir sendiri terbukti tidak benar.


