BINTULU: Seramai 634 peserta menyertai Balingian Fun Walk 2026 sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Kecil Balingian di Tapak Bederun, hari ini, sekali gus mencatatkan penyertaan tertinggi sepanjang empat tahun penganjurannya.
Pengarah program, Mohd Helmi Zamil berkata, peningkatan penyertaan itu membuktikan aktiviti sukan dan rekreasi semakin mendapat sambutan masyarakat, selain menjadi wadah mengeratkan silaturahim dan memupuk perpaduan.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan dan memperbaiki kualiti hidup masyarakat.
Sementara itu, Penghulu Harbi Bakir berkata, sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan membuka peluang untuk mengetengahkan Balingian sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan dan rekreasi.
Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kehadiran peserta dari luar kawasan itu dan Mukah berpotensi merancakkan aktiviti pelancongan tempatan.
Persekitaran pekan yang menghijau, suasana perkampungan tradisional serta pasar lama yang terletak bersebelahan kawasan pembangunan moden menjadi tarikan yang boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Aktiviti berjalan kaki secara santai bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah mampu menghidupkan suasana komuniti serta menyokong penganjuran karnival dan aktiviti tempatan,” katanya.


