KUCHING: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Rifdean Masdor mempertahankan profesionalismenya dengan menegaskan bahawa ketiadaan pasukan sokongan lengkap ketika menentang Nadaka Yoshinari di Jepun bukan bermakna beliau gagal membuat persiapan atau memandang ringan peluang merebut kejuaraan dunia.
Atlet kelahiran Sarawak yang dikenali sebagai The Magic Boy itu menjelaskan, kekangan teknikal dan urusan berkaitan pasukan menyebabkan individu yang dirancang untuk mengiringinya tidak dapat menyertainya dalam perjalanan ke Tokyo.
“Saya mungkin hadir tanpa pasukan yang lengkap, tetapi saya tidak pernah hadir tanpa persiapan, disiplin dan semangat untuk menang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan kritikan keras daripada Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, yang mempersoalkan tahap profesionalisme Rifdean selepas beliau hadir tanpa jurulatih dan pasukan sokongan dalam pertarungan ONE Samurai 4, semalam.
Rifdean turut memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul dan menjelaskan persiapan menghadapi Nadaka dilakukan secara intensif dengan komitmen penuh memandangkan pertarungan itu antara cabaran terbesar sepanjang kerjayanya.
“Sepanjang persiapan menghadapi Nadaka, saya telah menjalani latihan intensif dan memberikan sepenuh komitmen untuk menghadapi salah satu cabaran terbesar dalam kerjaya saya.
“Namun, terdapat beberapa kekangan teknikal dan urusan yang menyebabkan individu yang saya rancang untuk bawa bersama tidak dapat mengiringi saya ke Jepun. Perkara ini bukan berpunca daripada masalah kewangan mahupun kurangnya kesungguhan saya,” katanya.
Rifdean menjelaskan, beliau turut berusaha mendapatkan bantuan beberapa rakan bagi memastikan dirinya tidak menghadapi pertarungan berkenaan tanpa sebarang sokongan.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mendedahkan keseluruhan situasi kerana enggan mengheret mana-mana pihak ke dalam kontroversi atau menjejaskan hubungan profesional yang sudah terjalin.
“Dalam keadaan yang serba mencabar, saya tetap berusaha mencari penyelesaian sendiri dan memilih untuk tidak mendedahkan keseluruhan situasi ini kerana tidak mahu mengheret mana-mana pihak ke dalam kontroversi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rifdean turut memohon maaf kepada Chatri dan ONE Championship sekiranya situasi berkenaan menimbulkan tanggapan bahawa dirinya tidak profesional.
“Saya ingin menyampaikan permohonan maaf kepada Chatri Sityodtong dan pihak ONE Championship sekiranya kenyataan atau situasi tersebut telah menimbulkan tanggapan bahawa saya tidak profesional atau tidak mengambil serius peluang yang diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa segala pengorbanan sepanjang kem latihan perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan berdasarkan keadaan pada hari pertarungan semata-mata.
“Saya telah mengorbankan masa, tenaga dan banyak perkara sepanjang kem latihan demi memastikan saya berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi seorang juara dunia.
“Saya menerima keputusan perlawanan ini dengan hati terbuka. Saya tidak mencari alasan atas kekalahan, tetapi saya percaya terdapat perbezaan yang besar antara mencari alasan dan menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.
Mengulas kekalahannya, Rifdean mengakui Nadaka atlet yang hebat dan menghargai peluang yang diberikan untuk bersaing di pentas dunia.
“Kekalahan adalah tanggungjawab saya sebagai seorang atlet. Pengalaman ini mengajar saya banyak perkara dan saya akan memastikan segala urusan pasukan, persiapan dan pengurusan perlawanan akan datang disusun dengan lebih baik.
“Saya mungkin tewas dalam perlawanan ini, tetapi saya tidak pernah tewas dalam perjuangan untuk menjadi lebih baik. Ini bukan pengakhiran perjalanan saya,” tegasnya.
Dalam pertarungan di Ariake Arena, Tokyo pada Sabtu, Rifdean tewas menerusi kalah mati teknikal (TKO) selepas terkena tendangan ke kepala pada saat ke-58 pusingan kedua.
Kemenangan itu membolehkan Nadaka mempertahankan kejuaraan Dunia Muay Thai ONE kategori atomweight buat kali kedua, selain menerima bonus persembahan AS$100,000.



