ARTIKEL

Sim ketika hadir mewakili Abang Johari pada majlis perasmian pembukaan Kuil Qing Shan Yan Tian Hou di Kuching, hari ini.

Setiap komuniti agama berhak amalkan kepercayaan dengan bermaruah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: “Kita tidak mengharapkan semua orang menganut agama yang sama dan kita juga tidak berhasrat menjadikan setiap masyarakat mempunyai budaya yang serupa.

“Apa yang kita harapkan ialah agar kita saling menghormati kepercayaan masing-masing, menghargai tradisi setiap komuniti dan mengiktiraf bahawa setiap masyarakat menyumbang kepada kekayaan serta keunikan Sarawak.”

Itu ditegaskan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyatakan Kerajaan Sarawak kekal komited memelihara semangat keterangkuman kerana institusi keagamaan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam mengekalkan keimanan dan kesejahteraan rohani, malah dalam memelihara warisan budaya, memperkukuh hubungan masyarakat serta memupuk keharmonian sosial.

“Berdasarkan pemahaman inilah, Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai mekanisme institusi untuk menyokong keperluan pelbagai komuniti agama di negeri ini.

“Melalui UNIFOR, kerajaan terus menyediakan bantuan kewangan bagi pembinaan, pembaikan dan penaiktarafan rumah ibadat milik komuniti agama bukan Islam di seluruh Sarawak.

“Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan kita bahawa setiap komuniti agama berhak menikmati persekitaran yang membolehkan mereka mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan penuh bermaruah serta memelihara tradisi untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena majlis perasmian pembukaan Kuil Qing Shan Yan Tian Hou di sini, hari ini.

Selain itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa keamanan dan keharmonian di Sarawak yang dinikmati pada hari ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia hasil persefahaman, kerjasama dan semangat muhibah yang dipupuk oleh generasi terdahulu.

Justeru, beliau berkata nilai itu mesti terus dipelihara, diperkukuh dan diwariskan kepada generasi masa depan.

“Sebagai Premier Sarawak, saya sentiasa menegaskan bahawa setiap masyarakat mesti mempunyai tempat yang sewajarnya dalam perjalanan pembangunan negeri ini.

“Tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang budaya, setiap rakyat Sarawak harus berasa dihormati, dihargai dan dilibatkan dalam masa depan yang sedang kita bina bersama.

“Inilah inti pati semangat Sarawak. Perpaduan kita tidak menuntut semua orang menjadi serupa, sebaliknya perpaduan menuntut kita mengiktiraf bahawa perbezaan boleh wujud secara harmoni dalam satu identiti bersama yang diperkukuh oleh kepercayaan antara satu sama lain serta komitmen bersama terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari menyifatkan institusi keagamaan dan kebudayaan seperti Kuil Qing Shan Yan Tian Hou mempunyai peranan penting dalam memupuk persefahaman, menggalakkan semangat muhibah dan menyediakan peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berkumpul serta berinteraksi.

“Kerajaan akan terus mempertahankan pendekatan inklusif ini kerana kita yakin bahawa kemajuan mampan tidak boleh diukur berdasarkan pencapaian ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.

“Sebaliknya, kemajuan juga mesti dicerminkan melalui keharmonian, maruah dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.

BERITA LAIN

Gedong kampung angkat DBP

GEDONG: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar memperkasa bahasa dan sastera, malah turut menggerakkan usaha pembangunan masyarakat menerusi program Satu Pemimpin, Satu Kampung di

BERITA TERBARU

Gedong kampung angkat DBP

GEDONG: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar memperkasa bahasa dan sastera, malah turut menggerakkan usaha pembangunan masyarakat menerusi program Satu Pemimpin, Satu Kampung di