GEDONG: Gedong bakal mendapat manfaat daripada jaringan perhubungan yang lebih baik menerusi cadangan pembinaan rangkaian jalan raya dua hala yang menghubungkan Serian, Samarahan dan Sebuyau, sekali gus membuka kawasan baharu untuk pembangunan serta peluang ekonomi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, laluan yang dicadangkan itu bermula di Kampung Munggu Kupi di Serian menuju Gedong, sebelum diteruskan ke Samarahan dan dilanjutkan ke arah Sebuyau serta kawasan utara Sarawak.
“Gedong akan berada di tengah-tengah rangkaian jalan raya utama yang sedang kita bangunkan dan ini akan membuka kawasan baharu,” katanya ketika berucap pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung: Berambeh di Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan itu sebahagian daripada perancangan yang lebih teratur dan bersepadu bagi memperkukuh pertumbuhan Gedong, selain merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Katanya, jaringan jalan raya yang lebih baik turut memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan hasil pertanian mereka dengan lebih mudah, sekali gus membolehkan masyarakat menikmati manfaat daripada pembangunan ekonomi yang lebih luas di koridor Samarahan-Simunjan.
Abang Johari menyifatkan pembangunan itu sebagai pendekatan bersepadu yang menghubungkan pelbagai kawasan pada skala lebih besar, selain memastikan masyarakat luar bandar turut mendapat manfaatnya.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan Samarahan hingga Simunjan perlu dilihat secara bersepadu supaya manfaatnya dapat dirasai penduduk, khususnya masyarakat luar bandar.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk dan pemimpin setempat supaya bersedia menghadapi perubahan berkenaan dengan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Dalam aspek pendidikan, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sekolah di negeri ini, termasuk pembinaan sekolah baharu, bagi memastikan anak-anak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Katanya, keutamaan bukan terletak pada sumber pembiayaan semata-mata, sebaliknya memastikan generasi muda mendapat ilmu pengetahuan terkini yang diperlukan untuk menghadapi perubahan teknologi.
Beliau turut menekankan potensi penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, termasuk penanaman padi menerusi kaedah baharu yang berupaya meningkatkan pengeluaran.
“Pendekatan ini perlu diterokai bagi membolehkan Gedong memperkukuh pengeluaran padi dan beras, sekali gus meningkatkan produktiviti sektor pertanian tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan luar bandar perlu disokong kepimpinan akar umbi yang mampu memberi inspirasi dan bekerjasama dengan masyarakat bagi membawa perubahan kepada kampung masing-masing.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada wakil khas Premier di Gedong Datuk Sri Naroden Majais serta pemimpin setempat atas kerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan Gedong, Simunjan dan Samarahan sebagai kawasan penting di Selatan Sarawak.
Menyentuh kedudukan kewangan negeri, beliau berkata, pengurusan ekonomi yang teratur dan berhemah penting bagi memastikan Sarawak mempunyai sumber mencukupi untuk membiayai pembangunan serta menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, Kerajaan Sarawak turut merancang pengurusan dana berdaulat bagi memperkukuh kedudukan kewangan jangka panjang Sarawak.
Beliau menegaskan, pemimpin di peringkat kampung perlu memahami dasar pembangunan negeri dan mempersiapkan generasi muda dengan pengetahuan serta kemahiran baharu, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini.
“Pemimpin bertukar ganti, orang tua beri laluan kepada orang muda dan orang muda sepatutnya lebih baik daripada pemimpin yang tua,” katanya lagi.
Beliau berkata, pembangunan yang dirancang perlu disusuli usaha memperkukuh ilmu pengetahuan dan keupayaan rakyat supaya Sarawak mampu menghadapi cabaran masa depan dengan kekuatan sendiri.


