GEDONG: Sarawak merancang menghantar seorang anak tempatan melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Pusat Penyakit Tropika di London (London Tropical Disease Center) bagi memperkukuh kepakaran dalam penyelidikan penyakit tropika.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha negeri membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang perubatan dan penyelidikan penyakit berjangkit.
Beliau berkata, Sarawak turut menghantar anak tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan pembangunan ubat-ubatan di peringkat sarjana.
“Pembangunan kepakaran ini penting bagi meningkatkan keupayaan Sarawak menjalankan penyelidikan serta membuat persediaan menghadapi ancaman penyakit berjangkit pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung: Berambeh di Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM400 juta daripada dana Sarawak sendiri bagi membangunkan pusat penyelidikan penyakit tropika di Samarahan.
Pusat itu, katanya, dilengkapi kemudahan makmal dan kepakaran saintifik bagi menyokong penyelidikan penyakit tropika serta usaha mengenal pasti pendekatan untuk mengawal penularan penyakit dalam masyarakat.
Beliau berkata, Sarawak juga mempunyai makmal bergerak yang membolehkan penyelidikan dan khidmat nasihat berkaitan penyakit dilaksanakan dengan lebih dekat kepada masyarakat.
Usaha itu, katanya, mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh penyelidikan kesihatan serta membangunkan tenaga pakar tempatan bagi menghadapi cabaran kesihatan pada masa depan.

