ARTIKEL

Premier menghadiri program Satu Pemimpin, Satu Kampung di Gedong, di sini, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Gedong kampung angkat DBP

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEDONG: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar memperkasa bahasa dan sastera, malah turut menggerakkan usaha pembangunan masyarakat menerusi program Satu Pemimpin, Satu Kampung di Gedong.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berkata, program itu memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti isu sosioekonomi dan pembangunan setempat, selain menggerakkan penyelesaian bersama melalui kerjasama kementerian, jabatan, agensi serta pihak berkepentingan.

Dr Hazami Jahari ketika berucap pada program Satu Pemimpin, Satu Kampung di Gedong, di sini, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Beliau berkata, Kampung Tengah Hulu Gedong dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program berkenaan kerana kampung itu tempat kelahirannya.

“Inisiatif ini juga menjadi peluang untuk saya menyumbang semula kepada kampung yang banyak membentuk kehidupan dan perjalanan diri saya sebelum menamatkan perkhidmatan.

“Walaupun Gedong dipilih sebagai kampung angkat, kegiatan kami juga akan meliputi di sekitar daerah Gedong dan daerah lain di negeri ini,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu bukan bertujuan mengambil alih usaha pembangunan yang sudah dilaksanakan kerajaan, sebaliknya membantu melengkapi keperluan masyarakat menerusi sokongan agensi berkaitan.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian ialah pembangunan masyarakat, pendidikan dan usaha membantu golongan yang berdepan kemiskinan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, Pejabat Daerah serta pemimpin masyarakat atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, program Satu Pemimpin, Satu Kampung akan diteruskan sehingga persaraannya pada 2028, dengan perancangan aktiviti yang lebih tersusun bagi membantu penduduk, khususnya golongan muda.

Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam program itu ialah pertandingan memancing yang disertai 180 peserta, pertandingan futsal, ceramah agama serta program motivasi dan pecutan akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program berkaitan turut dirancang di kawasan sekitar, termasuk usaha meningkatkan minat membaca di Kampung Lubok Punggor.

Beliau berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu membina ekosistem kampung yang lebih kondusif demi kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut berkongsi kenangan menerima anugerah pelajar terbaik kokurikulum di SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab pada 1985, yang disampaikan Abang Johari ketika itu.

Katanya, selepas 41 tahun, beliau berpeluang kembali ke kampung kelahirannya untuk menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU