BINTULU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) perlu memperkukuh jentera parti dan meningkatkan gerak kerja di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Presidennya, Datuk Sri John Sikie Tayai berkata, kerjasama erat antara kepimpinan parti, badan induk serta sayap Wanita dan Pemuda penting bagi memastikan persiapan pilihan raya dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Premier Sarawak berkata, perpaduan dalam kalangan ahli perlu terus dipelihara bagi memastikan parti kekal kukuh mendepani perubahan landskap politik semasa.
“Semua peringkat kepimpinan dan sayap parti perlu memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan program yang dirancang, selain memastikan hubungan antara kepimpinan dengan ahli di peringkat akar umbi terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRS Bahagian N.60 Kakus di sebuah hotel di sini.
Mesyuarat itu dihadiri kira-kira 100 ahli dan wakil parti, termasuk isterinya, Datin Melia Gelen, Ketua Pemuda PRS N.60 Kakus, Dr. Jawing Chunggat dan Ketua Wanita PRS N.60 Kakus, Olina Josline.
Menurutnya, mesyuarat agung itu turut menjadi platform kepada ahli untuk menyuarakan pandangan, bertukar pendapat dan membincangkan hala tuju parti, selain mengeratkan hubungan antara badan induk, Wanita dan Pemuda di peringkat bahagian.
Beliau berkata, penyelarasan berterusan antara semua sayap parti penting bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan, sekali gus memantapkan organisasi PRS Bahagian N.60 Kakus menjelang PRN Sarawak ke-13.

