SARATOK: Nilai-nilai murni terkandung dalam al-Quran mampu menjadi panduan moral merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak menerusi Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, tiga tunjang utama PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar perlu disokong dengan nilai keimanan, amanah dan tanggungjawab bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Dari aspek keterangkuman sosial, Islam mengajar umatnya saling membantu, berlaku adil dan menghormati sesama manusia tanpa memandang rendah terhadap orang lain.
Prinsip itu penting bagi memastikan saudara baharu tidak terpinggir, sebaliknya diberikan peluang untuk menimba ilmu, memperkukuh kefahaman agama dan membina kehidupan yang lebih baik.
“ Inilah semangat keterangkuman sosial yang ingin kita suburkan dalam masyarakat Sarawak, iaitu memastikan setiap individu diberikan perhatian, peluang dan ruang untuk menyumbang kepada pembangunan negeri tanpa ada golongan yang tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatam al-Quran Bahagian Betong anjuran Urus Setia Saudara Kita (USK) Cawangan Saratok 2026 di sini, semalam.
Mengulas aspek kemakmuran ekonomi, Mohamad berkata, Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki halal, bekerja dengan amanah dan tidak mudah berputus asa dalam memperbaiki taraf kehidupan.
Mengenai kelestarian alam sekitar, beliau berkata, kekayaan sumber semula jadi Sarawak seperti sungai, hutan dan tanah merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dipelihara sebagai amanah untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Masyarakat perlu membudayakan amalan menjaga kebersihan, tidak membuang sampah, memelihara sungai serta mengelakkan kegiatan yang boleh merosakkan alam sekitar.
Menambah lanjut, pembangunan sesebuah wilayah tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal, pembinaan bangunan atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembentukan insan beriman, berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat serta negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap saudara baharu terus memperkukuh penghayatan Islam dan menjadi anggota masyarakat yang produktif, saling membantu serta menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan Sarawak.
Beliau yakin pembangunan negeri yang dipandu nilai keimanan, amanah dan perpaduan mampu membantu Sarawak mencapai aspirasi sebagai negeri maju menjelang 2030, di samping membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera untuk dinikmati generasi akan datang.

