MARUDI: Seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun yang dilaporkan hilang sejak 15 Oktober lalu ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah anak sungai berhampiran Rumah Panjang Polen, Melikat, di sini, pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan mangsa, Selading Suai, ditemukan pada jam 12.40 tengah hari oleh salah satu daripada tiga kumpulan pencarian yang digerakkan.

Mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari pos kawalan operasi sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mangsa kemudian dibawa ke rumah panjang menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) milik penduduk sebelum dihantar ke Hospital Marudi menggunakan kenderaan ahli keluarga untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR hari keempat itu melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Unit Pengesan K9, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Sebelum pencarian dimulakan, taklimat penyelarasan diberikan kepada semua pasukan penyelamat, manakala Unit Pengesan K9 menjalankan tugas di lokasi bagi membantu mengesan mangsa.
Operasi dibahagikan kepada tiga kumpulan melibatkan pelbagai agensi bagi memperluas kawasan pencarian.
PGO Bomba Sarawak memaklumkan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat dan terkawal.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 2.50 petang, 15 Oktober lalu. Lokasi kejadian terletak kira-kira 23 kilometer dari BBP Marudi.
Operasi turut berdepan kekangan komunikasi apabila kawasan pencarian tidak mempunyai liputan sistem radio GIRN serta talian telefon dan internet.
Ketika dilaporkan hilang, mangsa memakai baju biru, seluar pendek hitam, topi putih dan kasut but paya putih.


