PUSA: Pasukan Todak Berjaya mengukuhkan reputasinya dalam arena regata Sarawak apabila muncul Raja Sungai Regata Tandang Sari (RTS) 2026 di Sungai Rimbas, di sini, hari ini, sekali gus melengkapkan kejayaan merangkul dua gelaran berprestij itu dalam tempoh sebulan.
Kejayaan itu menyusuli kemenangan pasukan kendalian Kaunselor Kasdi Pandi pada Regata Krian 2026 di Saratok, 4 Oktober lalu.

Todak Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala pusingan selepas menjuarai acara akhir Bidar 30 yang menyaksikan persaingan sengit 11 pasukan.
Dalam perlumbaan yang dilepaskan sekitar jam 3 petang itu, pasukan dari Saratok berkenaan mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pencabar lain.
Pasukan Top White Marlin, yang turut dimiliki Kasdi, menduduki tempat kedua dan menerima RM7,000 berserta piala, manakala Barracuda dari Kampung Kalok, Pusa, kendalian Safie Mentali, di tempat ketiga dengan hadiah RM5,000 dan piala.
Burung Garuda kendalian Sarbini Awie menduduki tempat keempat dengan hadiah RM2,000, sementara Cahaya Helang Tasik milik Fadli Othman di tempat kelima menerima RM1,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor, dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, pada majlis penangguhan RTS 2026.
Selain acara Bidar 30, Todak Berjaya turut menjuarai kategori maraton, manakala Cahaya Helang Tasik mengungguli kategori Bidar 15 dan Bidar 20.
Barracuda muncul juara kategori Bidar 10, sementara LCHT menjuarai kategori Bidar 25.
RTS 2026 menghimpunkan 31 pasukan yang bersaing merebut hadiah wang tunai berjumlah lebih RM78,000.


