KUALA LUMPUR: Atlet luncur alpine negara, Aruwin Salehhuddin, menamatkan kempen Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 hari ini dengan menduduki tempat ke-44 dalam acara slalom wanita di Pusat Ski Alpine Tofane, Itali.
Menurut laman web rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan masa keseluruhan satu minit 54.82 saat.
Persembahan Aruwin menunjukkan kemajuan ketara sepanjang saingan apabila beliau menamatkan larian pertama di tempat ke-54 dengan catatan 55.09 saat sebelum melonjak 10 kedudukan pada larian kedua dengan masa 59.73 saat.
Keputusan itu menjadi penebusan buat satu-satunya wakil Malaysia di Itali selepas beliau memperbaiki pencapaian pada penampilan pertama di Beijing 2022 apabila gagal menamatkan saingan dalam acara sama.
Acara berkenaan menyaksikan atlet Amerika Syarikat, Mikaela Shiffrin, meraih pingat emas dengan masa keseluruhan 1:39.10 saat.
Camille Rast dari Switzerland membawa pulang pingat perak dengan catatan 1:40.60 saat manakala atlet Sweden, Anna Swenn Larsson, melengkapkan podium dengan pingat gangsa selepas mencatat 1:40.81 saat.
Slalom merupakan perlumbaan ski alpine paling pendek, dengan atlet lazimnya menamatkan perlumbaan dalam tempoh antara 50 hingga 60 saat serta mempunyai jumlah selekoh paling banyak.
Peserta perlu meluncur menuruni laluan perlumbaan dan mengelilingi deretan pintu yang disusun rapat secara berturutan sehingga tiba di garisan penamat.
Jika seorang atlet gagal melepasi mana-mana pintu pada larian pertama, atlet berkenaan akan menerima status DNF (Did Not Finish) dan tidak dibenarkan memulakan larian kedua.
Begitu juga, kegagalan melepasi pintu atau meluncur keluar daripada laluan pada larian kedua akan mengakibatkan DNF sekali gus menghalang atlet tersebut daripada menerima keputusan akhir rasmi.
Ahad lepas, Aruwin turut berdepan cabaran apabila gagal menamatkan acara giant slalom wanita di lokasi sama.
Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 yang bermula pada 6 Februari akan melabuhkan tirai Ahad ini (22 Februari).–BERNAMA



