AS bakal tambah had kemasukan pelarian

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis berkata akan meningkatkan segera had kemasukan pelarian ke negara itu selepas presiden sebelumnya berusaha untuk menurunkan angka tersebut.

Ketika mengumumkan perintah eksekutifnya, Biden berkata masyarakat antarabangsa berhadapan cabaran apabila lebih 80 juta orang kini terpaksa melarikan diri di seluruh dunia dan AS mesti menghadapi cabaran itu serta mengembalikan “moralnya mengenai isu-isu pelarian”, lapor Agensi Anadolu.

“Kami menyalakan lampu kebebasan kepada golongan tertindas, menawarkan tempat perlindungan kepada mereka yang melarikan diri dari keganasan atau penganiayaan, dan tindakan kami mendorong negara-negara lain untuk membuka pintu mereka juga.

“Jadi hari ini saya meluluskan perintah eksekutif untuk memulakan usaha memulihkan program kemasukan pelarian kami untuk membantu memenuhi keperluan global,” kata Biden di Jabatan Negara.

AS selama beberapa dekad telah memimpin dunia dalam penempatan semula pelarian sehinggalah bekas Presiden Donald Trump memegang jawatan itu pada 2017 dan menggunakan pendekatan keras untuk semua bentuk imigrasi. Beliau menyekat 110,000 permohonan suaka dan hanya membenarkan kemasukan maksimum 15,000 orang pada tahun akhir pentadbirannya.

Menurut laporan itu, Biden menjanjikan had 125,000 kemasukan pelarian, meskipun had ditetapkan Trump masih berkuat kuasa sepanjang tahun fiskal dan berakhir pada September.

Biden telah mengarahkan Jabatan Negara untuk berunding dengan ahli parlimen berhubung perkara itu untuk membolehkan ia dilaksana sebelum tahun fiskal 2022 bermula Oktober.A

Suara Sarawak