ARTIKEL

Kredit: Freepik.com

AS shutdown

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENUTUPAN pemerintahan (shutdown) yang berlaku di AS lebih 40 hari baru-baru ini, menandakan satu lagi sejarah politik dan ekonomi negara tersebut.

Ia bukan sahaja menjadi shutdown terpanjang dalam sejarah AS, malah turut memperlihatkan rapuhnya sistem pentadbiran apabila perbezaan politik di antara Republikan dengan Demokrat gagal diselesaikan.

Walaupun Presiden Donald Trump akhirnya menandatangani RUU menamatkan krisis ini, kesannya ke atas ekonomi, kepercayaan pasaran, serta kesejahteraan sosial berlarutan dan mengambil masa untuk pulih.

Dari segi latar belakang, shutdown terjadi apabila Kongres gagal meluluskan RUU perbelanjaan tahunan untuk membiayai operasi kerajaan persekutuan.

Dalam kes ini, perbezaan pendapat berkaitan pembahagian bajet dan prioriti perbelanjaan menjadi punca utama.

Republikan, yang mendukung agenda ekonomi Trump, menuduh Demokrat sengaja melengahkan kelulusan bajet demi kepentingan politik.

Demokrat pula mendakwa rancangan bajet yang dikemukakan tidak seimbang dan berat sebelah ke atas agenda Republikan.

Kegagalan mencapai kompromi menyebabkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk jabatan keselamatan dalam negeri, perkhidmatan sosial dan agensi penyelidikan, menutup operasi atau beroperasi dengan kapasiti minimum.

Lebih 800,000 kakitangan awam, sama ada dipaksa bercuti tanpa gaji atau bekerja tanpa bayaran.

KESAN

Kesan ekonomi daripada shutdown ini amat besar.

Menurut analisis beberapa institusi kewangan, setiap minggu shutdown boleh mengurangkan KDNK AS 0.1 hingga 0.2 peratus, bergantung pada skala agensi yang terlibat.

Selama 43 hari penutupan, ekonomi AS dikatakan kehilangan berbilion dolar dalam produktiviti, cukai dan perbelanjaan awam.

Selain itu, pekerja kerajaan yang tidak menerima gaji terpaksa menangguhkan pembayaran pinjaman, sewa rumah dan bil utiliti.

Keadaan ini menyebabkan penurunan mendadak dalam perbelanjaan pengguna – satu komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi AS.

Kajian badan berkaitan bajet, CBO mendapati kerugian ekonomi akibat shutdown sebelum ini tidak sepenuhnya dapat dipulihkan segera walaupun operasi kerajaan disambung semula.

Industri yang bergantung dengan agensi kerajaan turut terjejas.

Syarikat kontraktor yang bergantung kepada kontrak kerajaan turut kehilangan tempahan dan pembayaran tertunda.

Industri pelancongan dan penerbangan juga terganggu apabila pegawai keselamatan di lapangan terbang tidak cukup, menyebabkan berlaku kelewatan dan pembatalan penerbangan.

Bagi pelabur, ketidaktentuan politik menyebabkan pasaran saham tidak stabil dan nilai dolar AS mengalami turun naik mendadak.

PSIKOLOGI

Selain impak ekonomi, shutdown menimbulkan tekanan sosial yang besar.

Ramai pekerja awam menghadapi kesukaran kerana tidak menerima gaji untuk tempoh lebih sebulan.

Terdapat kisah pekerja terpaksa menjual barang peribadi, menggunakan bantuan makanan, atau bergantung dengan derma, menjadi tajuk utama di media sosial.

Kesan psikologi terhadap pegawai kerajaan juga tidak dapat dipandang ringan.

Ketika situasi politik semakin tegang, keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menurun.

Tinjauan pendapat menunjukkan lebih 60 peratus rakyat AS berpendapat shutdown mencerminkan kegagalan kepimpinan politik, bukan sekadar perbezaan ideologi.

POLITIK

Dari sudut politik, penutupan kerajaan memberi tekanan kepada imej Trump dan Republikan, walaupun beliau menegaskan tindakan tersebut sebagai perjuangan mempertahankan prinsip, dengan ramai menganggapnya sebagai strategi politik yang tidak matang.

Penutupan yang lama memberi persepsi bahawa Washington mungkin tidak lagi berfungsi sebagai sistem yang stabil dan berkesan.

Di peringkat antarabangsa, shutdown memberi isyarat negatif kepada pelabur global.

Negara sekutu AS, ada yang meragui kestabilan politik AS sebagai kuasa ekonomi dunia.

Perundingan dagangan, perjanjian antarabangsa dan mesyuarat diplomatik juga tertangguh kerana ketiadaan pegawai kerajaan yang berfungsi penuh.

Ini melemahkan kedudukan AS dalam rundingan global seperti isu perubahan iklim dan perdagangan antarabangsa.

PEMULIHAN

Setelah 43 hari, Kongres akhirnya meluluskan RUU baharu dengan 216 suara dari Republik dan enam dari Demokrat yang menyokong.

Penandatanganan oleh Trump petunjuk berakhirnya kebuntuan politik itu, namun proses pemulihan dijangka panjang.

Agensi kerajaan memerlukan masa berminggu-minggu memulihkan operasi, memproses tugas yang tertunda serta menstabilkan semula sistem kewangan.

Kerajaan perlu memulihkan kepercayaan pasaran dan keyakinan rakyat ke atas institusi awam.

Pelajaran utama daripada episod ini ialah keperluan untuk mereformasi mekanisme peruntukan bajet agar tidak mudah dipolitikkan.

Fenomena shutdown di AS pada asasnya berpunca daripada struktur politik dan sistem perlembagaan AS yang unik; iaitu pemisahan kuasa cabang eksekutif (Presiden) dengan legislatif (Kongres).

Presiden tidak mempunyai kuasa automatik untuk meluluskan bajet tanpa persetujuan Kongres.

Berbeza dengan AS, Malaysia dan Indonesia menggunakan sistem pemerintahan berparlimen, dengan kerajaan atau kabinet dibentuk daripada parti atau gabungan parti yang menguasai majoriti di Parlimen atau DPR.

Oleh itu, apabila bajet tahunan dibentangkan, biasanya ia diluluskan oleh majoriti yang sama, yang menyokong kerajaan.

Ini menjadikan kemungkinan berlakunya shutdown hampir mustahil, kerana kejatuhan bajet biasanya bermaksud kejatuhan kerajaan, bukan penutupan negara.

Shutdown di AS menunjukkan bagaimana politik boleh melumpuhkan pentadbiran negara.

Manakala, sistem di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia lebih melindungi kesinambungan pentadbiran awam.

Struktur parlimen yang menuntut kepercayaan majoriti menjadikan operasi kerajaan tetap berjalan walaupun terdapat konflik politik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU