KOTA SAMARAHAN: Kelab robotik sekolah di luar bandar, AsaGiant Ambal mengukir kejayaan di pentas dunia.
Dua pelajar SMK Asajaya, Naqib Rafiudin Fiqri Rosli dan Auliya Nuryuzarsieff Nor Shubhibillah, membuktikan bahawa jarak dari kota bukan penghalang untuk anak Sarawak mengejar impian apabila meraih pingat gangsa dalam kategori RoboSports pada World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific India 2026 di Hyderabad, India.
Kejayaan itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, yang menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai lebih besar daripada sekadar pingat.
Menurutnya, di sebalik kejayaan Naqib dan Auliya terdapat perjalanan panjang yang dibina oleh guru, pembimbing, ibu bapa, pihak sekolah serta generasi terdahulu yang terus menghidupkan legasi AsaGiant Ambal.
“Beribu kilometer merentas benua, mereka membawa nama Asajaya bersama dengan sebuah impian besar, lalu pulang dengan sebuah pingat untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Daripada sebuah kelab kecil di sekolah, pasukan itu berkembang sedikit demi sedikit sebelum mencipta nama dengan kejayaan dalam pertandingan robotik peringkat negeri dan kebangsaan.
Bagi Rubiah, pencapaian itu membuktikan anak luar bandar juga memiliki bakat, kebolehan dan potensi untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Beliau turut berharap kejayaan Naqib dan Auliya menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai anak muda di luar bandar untuk menceburi bidang robotik, teknologi dan inovasi.
Katanya, generasi baharu perlu diberi keyakinan bahawa mereka bukan sekadar pengguna teknologi, malah mampu menjadi pencipta dan peneraju teknologi masa hadapan.

