KOTA SAMARAHAN: Daerah Asajaya berpotensi untuk menjadi sebuah bandaraya satelit besar dengan pelaksanaan dua projek mega iaitu pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu di Tanjung Embang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pembangunan infrastruktur berskala besar dan pembinaan Lebuhraya Persisiran akan mengubah landskap kawasan setempat.
“Daripada maklum balas yang saya terima daripada masyarakat, mereka mahu melihat pembangunan. Apabila pembangunan besar tiba di kawasan ini, ia akan mengangkat Asajaya, meningkatkan nilai tanah dan peluang ekonomi,” katanya selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Asajaya, hari ini.
Tambah beliau, dua projek mega yang dirancang di Tanjung Embang, iaitu lapangan terbang dan pelabuhan, akan menjadi pemangkin perubahan besar bagi kawasan sekitarnya.
“Jika kita melihat pelan, jambatan akan dibina dari Tanjung Embang ke dua pulau buatan, dan satu lagi jambatan akan menghubungkan ke kawasan Tembirat dan Sambir. Secara tidak langsung, kawasan ini akan berkembang menjadi sebuah bandaraya satelit jika pelan tersebut diteruskan,” katanya.
Beliau juga menyeru rakyat di Asajaya untuk bersedia dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat yang sedang dan akan berlaku.
“Kita tidak mahu rakyat tertinggal. Oleh itu, rakyat mesti sehaluan dengan pembangunan ini dari segi ekonomi dan ilmu. Alhamdulillah, ramai anak Asajaya kini sudah berjaya menjejakkan kaki ke universiti,” katanya.

