KUCHING: Program Astana Safety and Emergency Preparedness Programme (ASEPP) 2026 diharap menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan keselamatan secara berterusan, bukan sahaja di Astana Negeri Sarawak, malah di semua tempat kerja di seluruh negeri ini.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkata, setiap warga kerja perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam menghadapi situasi kecemasan, termasuk memahami laluan keluar, lokasi berkumpul serta tanggungjawab masing-masing ketika proses pengosongan bangunan.

Menurut beliau, latihan keselamatan secara berterusan menerusi latihan penyegaran dan penilaian berkala amat penting bagi memastikan setiap warga kerja memahami prosedur kecemasan serta mampu bertindak dengan tepat apabila berhadapan situasi tidak dijangka.
“Berbekalkan pengalaman saya selama 22 tahun sebagai pramugari dalam industri penerbangan, saya melihat aspek keselamatan sebagai sesuatu yang memerlukan latihan berterusan.
“Saya bukan mahu semua orang menjadi pakar keselamatan. Saya cuma mahu setiap orang tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku kecemasan,” katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian program berkenaan di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Beliau turut berharap pelaksanaan latihan keselamatan tidak terhenti selepas berakhirnya ASEPP 2026, sebaliknya diteruskan secara berkala dan diperluaskan ke semua pejabat di seluruh Sarawak.
Katanya, setiap tempat kerja perlu mempunyai kakitangan yang memahami prosedur pengosongan bangunan, mengetahui laluan kecemasan serta mempunyai pengetahuan asas dalam memberikan pertolongan cemas.
Justeru, beliau menegaskan usaha membudayakan keselamatan perlu dijadikan amalan berterusan bagi memastikan Astana kekal sebagai persekitaran yang selamat untuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak, warga kerja serta semua tetamu dan pengunjung.

