ARTIKEL

Dayang Noorazah ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS bagi PRU Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Dayang Noorazah, Mohamad Duri Hargai Kepercayaan GPS


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Mohamad Duri menghargai kepercayaan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sekali lagi memilih mereka sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Dayang Noorazah yang bakal mempertahankan kerusi DUN Lingga berkata, beliau berterima kasih kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepercayaan diberikan untuk terus memikul amanah sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Katanya, beliau turut menghargai sokongan masyarakat di kawasan DUN Lingga dan berharap kerjasama yang terjalin dapat diteruskan bagi membangunkan kawasan berkenaan pada masa akan datang.

Mohamad Duri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Premier kerana masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan amanah ini. Saya juga berterima kasih kepada masyarakat di kawasan Lingga yang masih menyokong saya untuk sekali lagi menjadi calon pada pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS bagi PRU Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya, beliau memaklumkan, semuanya berjalan lancar setakat ini dan berharap keadaan tersebut berterusan sehingga hari pengundian.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik pertambahan calon wanita yang diberikan peluang bertanding pada pilihan raya kali ini sekali gus disifatkannya sebagai perkembangan positif bagi memperluas penyertaan wanita dalam politik.

Sementara itu, Mohamad Duri yang turut diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi DUN Kalaka juga merakamkan penghargaan kepada Premier merangkap Pengerusi GPS serta kepimpinan PBB atas pencalonan semula itu.

Beliau memberitahu, kawasan DUN Kalaka masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan sistem telekomunikasi.

“Sepanjang empat tahun lapan bulan memegang mandat sebagai wakil rakyat pada penggal lalu, alhamdulillah terdapat beberapa pembangunan infrastruktur telah dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Untuk rekod, PRN Sarawak Ke-12 pada 2021 merupakan pilihan raya pertama bagi kedua-dua calon berkenaan sebelum mereka dipilih sebagai wakil rakyat.

Ketika itu, Dayang Noorazah memenangi kerusi DUN Lingga dengan memperoleh 3,700 undi dan majoriti 2,273 undi, manakala Mohamad Duri memenangi kerusi DUN Kalaka dengan 3,893 undi serta majoriti 2,868 undi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU