KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruhkan muka baharu, Nicholas Wung Duk Ying, untuk mencabar DAP di kerusi DUN Padungan apabila berdepan Michael Kong Feng Nian – pembantu khas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Pertarungan kali ini menyaksikan DAP menampilkan Michael bagi mempertahankan Padungan selepas Chong, yang memenangi kerusi itu pada PRN lalu, beralih ke DUN Kota Sentosa.
Nicholas berkata, peralihan Chong membuka ruang kepada persaingan lebih seimbang di Padungan, khususnya dari segi usia dan pengalaman di antara beliau dengan Michael.
Beliau menyifatkan Michael sebagai pencabar kuat dan bekerja keras, namun menegaskan GPS akan memberikan saingan sebaik mungkin untuk merebut kerusi berkenaan.
Mengakui Padungan masih mempunyai pengaruh kuat DAP, Nicholas berkata beliau tidak mahu membuat andaian awal keputusan pilihan raya, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada usaha mendapatkan sokongan pengundi.
“Saya tidak mahu terlalu yakin. Pada pandangan saya, Padungan masih kubu kuat pembangkang, khususnya DAP ketika ini. Kami akan berusaha sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Ibu Pejabat PBB, hari ini.
Mengulas tawaran kepada pengundi, Nicholas berkata kehadiran wakil rakyat GPS di Padungan akan membolehkan lebih banyak sumber dan peruntukan Kerajaan Sarawak disalurkan ke kawasan itu.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kira-kira 24,000 pengundi di seluruh kawasan Padungan turut menikmati manfaat pembangunan.
Nicholas, 40, merupakan seorang peguam yang mula berkhidmat dalam bidang guaman sejak 2011, dengan tumpuan utama dalam kerja litigasi termasuk mengendalikan kes di mahkamah.
Beliau menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kira-kira empat tahun lalu dan PRN kali ini merupakan penampilan pertamanya sebagai calon pilihan raya.
Pada PRU DUN Sarawak ke-12, GPS gagal merampas Padungan apabila calonnya, Datuk Wee Hong Seng, tewas kepada Chong dengan majoriti 1,198 undi.
Ketika itu, Chong memperoleh 4,686 undi, manakala Wee meraih 3,488 undi, sekali gus membolehkan DAP terus mempertahankan kerusi berkenaan.

