KUCHING: Taktik individu menyamar sebagai kakitangan Jabatan Premier Sarawak untuk menawarkan tender pembekalan barangan kerajaan yang tidak wujud menyebabkan seorang lelaki berusia 64 tahun kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan penipuan dalam talian.
Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,016,500 selepas melakukan 13 transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank yang diberikan suspek bagi urusan pembekalan kabinet, set janakuasa (genset) dan bateri.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian bermula pada 3 November lalu, kira-kira 10 pagi, ketika mangsa menerima panggilan menerusi aplikasi WhatsApp sewaktu berada di pejabatnya.
Menurutnya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Jabatan Premier Sarawak menawarkan tender pembekalan barangan berkenaan yang kononnya dibuat melalui pesanan kerajaan.
“Suspek kemudian menghubungkan mangsa dengan seorang individu yang diperkenalkan sebagai pembekal bagi menguruskan pembelian barangan tersebut,” katanya.
Alexson berkata, mangsa diminta menjelaskan bayaran terlebih dahulu sebelum barangan dihantar, lalu melakukan 13 transaksi ke dalam tiga akaun yang diberikan suspek.
Bagaimanapun katanya, penipuan itu terbongkar selepas mangsa membuat semakan secara langsung dengan Jabatan Premier Sarawak dan mendapati tender pembekalan yang ditawarkan kepadanya sebenarnya tidak wujud.
Susulan kejadian ujar beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes berkenaan dan menjalankan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran tender kerajaan yang diterima melalui panggilan telefon atau aplikasi komunikasi tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada jabatan berkaitan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya berwaspada terhadap panggilan mencurigakan, selain tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada individu yang tidak dikenali.
“Orang ramai juga disarankan menyemak nombor akaun bank dan telefon yang mencurigakan menerusi portal rasmi Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan penipuan boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak melalui talian WhatsApp 011-6289 0089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.
“Mangsa yang mengesyaki diri mereka diperdaya juga boleh segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

