KUCHING: Peningkatan taraf sosioekonomi penduduk menjadi fokus calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, Alexander Donald.
Menurutnya, usaha itu akan memberi tumpuan kepada golongan petani dan usahawan baharu, khususnya belia, bagi membantu mereka meningkatkan sumber pendapatan serta taraf hidup.
“Antara perkara yang dekat di hati saya adalah untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk, supaya kita dapat menambah lebih banyak wang dalam poket masyarakat.
“Pada masa sama, membantu meningkatkan kemahiran dalam kalangan belia, termasuk latihan teknologi maklumat (IT), keusahawanan dan pengurusan kewangan serta perbankan.
“Menerusi usaha ini, kita boleh memastikan golongan muda di Ngemah mendapat peluang meningkatkan kemahiran tanpa perlu pergi jauh untuk mencari peluang pekerjaan dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima watikah pencalonan GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Alexander, 58, turut menyenaraikan penambahbaikan kemudahan asas sebagai antara pembangunan yang akan diberi tumpuan.
“Ini termasuk menaik taraf jalan raya, memperluas akses kepada bekalan air terawat serta meningkatkan liputan telefon mudah alih dan capaian Internet.
“Tekanan bekalan air yang rendah masih menjadi antara isu di kawasan berkenaan, manakala bekalan elektrik pula hampir mencapai liputan 100 peratus,” ujarnya.
Beliau yang berasal dari Ngemah mempunyai pengalaman selama 33 tahun dalam sektor perbankan di Public Bank dan pernah berkhidmat sebagai pengurus cawangan di Limbang selama tujuh tahun.
Mengulas pelibatannya dalam politik, beliau menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) sejak penubuhannya pada 2004.
“Ini merupakan kesinambungan khidmat saya kepada masyarakat. Justeru, saya lihat pencalonan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul sebaiknya,” katanya.

